Khidmat Bakti Diteruskan, Mohd Azmawi Santuni Warga Nenggiri

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani terus komited melaksanakan khidmat bakti di kawasan dengan menyantuni rakyat menerusi pelbagai program kemasyarakatan.

Terbaharu beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Negeri Kelantan berbesar hati menghadiri dan merasmikan Kejohanan Sukan Tahunan Sekolah Kebangsaan (SK) Pulat Tahun 2026.

“Alhamdulillah, suasana cukup meriah dengan semangat kesukanan yang dipamerkan oleh anak-anak serta kehadiran ibu bapa yang hadir memberikan sokongan, malah turut sama memeriahkan acara khas buat ibu bapa.

“Tahniah kepada Cikgu Radzi selaku Guru Besar, seluruh warga pendidik dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru SK Pulat atas penganjuran yang begitu baik,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu Mohd Azmawi turut sama berkongsi perjumpaannya bersama pihak KESEDAR Wilayah Gua Musang bagi menyelaras beberapa program yang bakal dilaksanakan.

“Alhamdulillah, sebaik sampai di Gua Musang dari Pos Pulat semalam, saya terus ke KESEDAR Hotel bagi menghadiri perjumpaan bersama pihak KESEDAR Wilayah Gua Musang untuk penyelarasan beberapa program yang bakal dilaksanakan.

“Selesai perjumpaan, saya berjumpa pula dengan Penghulu Alang dari Pos Simpor. Ahad lalu, seorang warga Pos Simpor telah meninggal dunia.

“Saya turut menyampaikan sedikit sumbangan kepada keluarga mendiang,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO