Kerajaan BN Johor Bukti Komitmen Bela Generasi Muda Felda – Ahmad Shabery
TENGGAROH, 9 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata, kerajaan Negeri Johor di bawah pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) terus membuktikan komitmennya dalam menjaga kebajikan generasi muda Felda menerusi pelbagai inisiatif perumahan.
Menurutnya, daripada 15,438 permohonan rumah generasi kedua Felda di Johor, sebanyak 9,855 lot rumah telah berjaya diselesaikan dan diberikan kepada pemohon.
“Ini membuktikan kerajaan UMNO/BN sentiasa berusaha memastikan generasi muda Felda memiliki kediaman sendiri dan mendapat pembelaan sewajarnya.
“Kita tahu ada sesetengah generasi muda yang tidak mampu mendirikan rumah, tapi kerajaan negeri Johor ada membuat kaedah yang dinamakan ‘Rumah Prihatin Johor’.
“Ianya boleh membuat pinjaman dengan Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB), bank-bank dan kerajaan negeri Johor memberi jaminan projek-projek perumahaan di Sungai Sayong, Bukit Besar yang sudah berjalan dan berjaya. Ini bukan kerana jasa kerajaan Persekutuan tetapi kerana jasa kerajaan negeri Johor yang begitu sayang kepada generasi muda Felda,” katanya di Dewan Serbaguna Tenggaroh Dua.
Beliau berkata demikian pada program Jalinan Ukhwah Mufakat Felda Pahang bersama warga Felda Tenggaroh Dua, petang semalam.
Turut hadir, Naib Presiden UMNO merangkap Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail; Ketua UMNO Bahagian Besut Datuk Muhammad Pehimi Yusof; Ketua UMNO Bahagian Kuala Terengganu Mohd Sabri Alwi; calon BN bagi DUN Tenggaroh Mohd Youzami Yusuf dan jentera BN empat peringkat.
Ahmad Shabery turut menjelaskan bahawa pembangunan dan kemajuan Felda memerlukan kerjasama erat serta pendekatan tersusun antara agensi dan kerajaan negeri.
“Negeri Pahang merupakan negeri yang paling banyak menyumbang tanah kepada pembangunan Felda, diikuti Johor yang turut memainkan peranan besar dalam memastikan agenda pembangunan dan kebajikan warga Felda terus diperkasakan,” katanya lagi.
Dalam masa sama Shabery menasihati pengundi-pengundi di Felda Tenggaroh Dua supaya terus beri mandat besar pada BN demi memastikan agenda pembangunan Johor dapat diteruskan.
“Untuk memajukan Johor perlukan kerajaan kuat dan stabil. Dulu UMNO dan BN memenangi 40 kerusi DUN, tapi kini harus memenangi yang lebih besar,” jelasnya.
Seterusnya beliau turut mempertikaikan tindakan Perdana Menteri yang dilihat kerap turun berkempen pada PRN Johor, meskipun pengundi sebenarnya akan memilih wakil rakyat dan kerajaan negeri yang bakal dipimpin oleh Menteri Besar Johor.
“Siapa sebenarnya yang hendak menjadi Menteri Besar Johor? Perdana Menteri atau orang lain? Yang banyak turun berkempen ialah Perdana Menteri, tetapi beliau bukan calon untuk menjadi Menteri Besar Johor.
“Tiada siapa yang mampu menandingi kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi. Johor berada di landasan yang hebat hari ini kerana negeri ini dibina atas asas perjuangan dan kestabilan yang dibawa oleh UMNO dan BN,” tegasnya. – UMNO Online
