GOTV: Pastikan Pengundi Putih Keluar 100 Peratus – Ahmad Maslan

SEGAMAT, 9 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor Datuk Seri Ahmad Maslan mengingatkan jentera parti supaya memastikan pengundi tegar BN keluar mengundi sepenuhnya, manakala berharap pengundi yang diketahui tidak menyokong BN memilih untuk tidak keluar mengundi pada hari pengundian.

Kata Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO itu, jentera perlu mempergiatkan kempen melalui pendekatan ziarah dari rumah ke rumah, khususnya menemui pengundi yang berpengaruh, kerana kaedah tersebut terbukti berkesan dalam meraih sokongan.

“Satu lagi… jangan leka pada saat-saat akhir. Mungkin ada perkara yang mereka (pihak lawan) ingin lakukan. Kita tidak menuduh apa-apa, tetapi kita kena sentiasa bersiap sedia.

“Seterusnya, jentera GOTV (Get Out The Voters) hendaklah dipastikan bergerak, terutama ketika hari mengundi. GOTV ini penting untuk mengambil pengundi-pengundi putih kita. Pengundi-pengundi putih kita kena keluar 100 peratus,” katanya.

Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian ditemui selepas program bersama pengundi Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah, di sini.

Hadir sama Pengerusi BN Parlimen Segamat merangkap calon BN DUN Buloh Kasap Datuk Zahari Sarip dan calon BN DUN Jementah, See Ann Giap.

Turut hadir, bekas Presiden MIC Datuk Seri Dr. S. Subramaniam dan serta Timbalan Ketua UMNO Bahagian Segamat Datuk Bastien Onn.

Dalam masa yang sama, Ahmad turut berpesan kepada jentera agar menarik sebanyak mungkin pengundi atas pagar supaya mengundi BN.

“Bagi pengundi atas pagar atau pengundi kelabu, saya menyeru mereka memberikan sokongan kepada Barisan Nasional demi memastikan kesinambungan pembangunan dan pelbagai inisiatif kebajikan seperti Bantuan Kasih Johor dapat diteruskan.

“Pengundi hitam pula, saya doakan mereka duduk di rumah sahaja. Berilah peluang kepada Barisan Nasional untuk terus berkhidmat dan memajukan negeri Johor,” katanya.

Beliau turut menyeru seluruh jentera BN agar memanfaatkan baki masa berkempen dengan sebaik-baiknya bagi memastikan setiap pengundi yang menyokong parti dapat dibawa keluar mengundi sekali gus membantu mencapai kemenangan pada hari pengundian. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO