Cikgu Selamat Sasar Gandakan Majoriti, Yakin Gelombang Sokongan BN

MUAR, 9 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang Cikgu Selamat Takim meluahkan keyakinan bahawa gelombang sokongan rakyat terhadap BN terus menunjukkan peningkatan menjelang hari pengundian, sekali gus meletakkan sasaran untuk menggandakan majoriti kemenangan yang diperoleh pada pilihan raya lalu.

Penyandang kerusi itu berkata, sambutan positif yang diterimanya sepanjang berkempen membuktikan keyakinan rakyat terhadap rekod perkhidmatan dan agenda pembangunan yang dibawa BN, selain optimis mampu mencapai sasaran majoriti sekitar 4,500 undi demi memastikan kesinambungan pembangunan di kawasan berkenaan.

“Alhamdulillah, berbaki hari berkempen ini saya dapat merasakan sokongan rakyat dan warga DUN Sungai Balang kepada calon nombor satu Barisan Nasional semakin meningkat. Di mana-mana saya turun bertemu rakyat, mereka memberikan sokongan, semangat dan doa.

“Pada PRN (Pilihan Raya Negeri) lalu saya memperoleh majoriti 2,293 undi dan kali ini saya yakin majoriti itu boleh berlipat kali ganda. Sasaran saya ialah memperoleh majoriti 4,500 undi,” katanya.

Manakala berhubung perancangan jika diberi sekali lagi mandat oleh rakyat, beliau bertekad mahu membangunkan pusat kemahiran di bawah Majlis Amanah Rakyat (MARA) dan pembinaan rumah mampu milik untuk golongan muda.

“Sebagai bekas pendidik, saya sentiasa memperjuangkan pendidikan dan masa depan anak-anak tempatan. Antaranya ialah perancangan membangunkan Pusat Kemahiran MARA di atas tanah milik MARA seluas 10 ekar bagi menyediakan latihan seperti kimpalan dan kemahiran teknikal lain sebagai persediaan kepada peluang pekerjaan yang bakal diwujudkan menerusi projek Maharani Energy Gateway.

“Selain itu, kerajaan negeri juga telah meluluskan peruntukan RM94 juta bagi pembinaan Rumah Mampu Milik Bangsa Johor untuk belia dan anak muda, dan banyak lagi inisiatif sedang diatur demi kesejahteraan generasi muda,” katanya.

Justeru, Cikgu Selamat turut menyeru golongan muda agar bersama-sama menyokong BN demi memastikan agenda pembangunan Sungai Balang dapat diteruskan, sambil menegaskan bahawa kebajikan serta masa depan anak muda akan terus menjadi keutamaan.

“Saya menyeru anak-anak muda supaya bangkit bersama saya untuk terus memajukan Sungai Balang. Undilah calon Barisan Nasional kerana kita tidak akan sesekali meninggalkan golongan muda,” katanya.

Berhubung dengan komitmen jentera parti, beliau memuji komitmen mereka yang disifatkan kekal bersemangat dan bersatu hati sepanjang tempoh kempen.

“Saya juga yakin semangat jentera di semua PDM (Pusat Daerah Mengundi) masih sangat kukuh dengan kerjasama dan permuafakatan yang erat.

“Insya-Allah semangat ini akan terus kekal sehingga hari mengundi dan kita akan meraikan kemenangan Barisan Nasional dengan majoriti yang lebih tinggi serta membentuk kerajaan negeri,” katanya lagi. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO