BN Komited Laksana Sepenuhnya Manifesto Jika Diberi Mandat – Ahmad Zahid

KLUANG, 9 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi memberi jaminan akan memastikan setiap “aku janji” dan manifesto ditawarkan parti itu, dilaksanakan sepenuhnya sekiranya mereka diberikan mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata komitmen tersebut menjadi keutamaan, bagi memastikan kelangsungan pembangunan dan kesejahteraan rakyat di negeri itu.

“Aku janji yang digariskan di dalam manifesto BN, akan dilaksanakan sepenuhnya untuk penggal yang akan datang,” katanya pada sidang media selepas menghadiri program sesi libat urus bersama dengan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Negeri Johor, di sini hari ini.

Ahmad Zahid berkata kepimpinan parti itu, akan memainkan peranan proaktif bagi memastikan setiap janji dibuat BN itu ditunaikan dan bukan hanya retorik.

“Insya-Allah, saya pada peringkat kebangsaan bersama-sama dengan rakan-rakan kepimpinan lain, akan terus memantau pencapaian dan aku janji dalam manifesto berkenaan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata mandat yang diberikan oleh rakyat, bukanlah medan untuk bersikap angkuh, sebaliknya ia tanggungjawab bagi memastikan perpaduan “Bangsa Johor” terus diperkukuh.

“Kejayaan ini bukan dengan hasrat untuk sombong, riak ataupun angkuh, tetapi kita mahu bangsa Johor ini merupakan satu bangsa yang bersatu padu dan memberikan sokongan kepada kerajaan baharu yang akan kita bentuk,” katanya.

Beliau berharap agar momentum sokongan pengundi Johor terhadap BN kekal konsisten sehingga proses pengundian berakhir, bagi membolehkan kerajaan yang stabil dibentuk sekali gus merealisasikan pelan pembangunan yang telah digariskan dalam manifesto BN demi masa hadapan Johor.

PRN Johor ke-16 menyaksikan 172 calon yang merebut 56 kerusi DUN dengan pengundian bagi 2.7 juta pemilih ditetapkan pada Sabtu ini. – BERNAMA

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO