Agenda Peralihan Tenaga Jadi Pemangkin Ekonomi, Tarik Pelaburan RM1.85 Trilion

KUALA LUMPUR, 9 Julai – Agenda peralihan tenaga negara dijangka menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu apabila pelaksanaan National Energy Transition Roadmap (NETR) diunjurkan mampu menarik pelaburan sehingga RM1.85 trilion serta mewujudkan kira-kira 310,000 peluang pekerjaan hijau menjelang 2050.

Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA), Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kejayaan agenda tersebut tidak boleh digerakkan oleh kerajaan secara bersendirian, sebaliknya memerlukan pendekatan menyeluruh atau whole-of-nation approach yang melibatkan kerjasama strategik antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, agensi kawal selia, syarikat utiliti, sektor swasta, institusi kewangan, pemain industri serta masyarakat.

“Pendekatan kerjasama rentas sektor ini telah memainkan peranan penting dalam mempercepatkan pembangunan Tenaga Boleh Baharu (TBB) negara. Sehingga 31 Disember 2025, kapasiti terpasang TBB negara telah mencapai 31 peratus seperti yang disasarkan dan berada di landasan yang positif ke arah mencapai sasaran kapasiti TBB 70 peratus menjelang tahun 2050 di bawah NETR.

“Kerjasama strategik antara Kerajaan dan sektor swasta telah diperkukuhkan melalui pelaksanaan pelbagai inisiatif seperti Large Scale Solar (LSS), Feed-in Tariff (FiT), Corporate Renewable Energy Supply Scheme (CRESS) serta program-program yang menggalakkan penyertaan pengguna dan industri dalam pembangunan tenaga boleh baharu.

“Melalui pelaksanaan 117 projek LSS, negara berjaya menarik pelaburan swasta sekitar RM22 bilion dengan kapasiti melebihi 6,000 MW. Bagi pelaksanaan LSS5 dan LSS5+, hampir 3.9 GW kapasiti solar baharu telah ditawarkan yang dijangka menarik pelaburan tambahan sekitar RM12 bilion,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.

Abdul Rahman yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO berkata, agenda peralihan tenaga bukan sekadar usaha menangani perubahan iklim, malah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu negara.

“Berdasarkan unjuran semasa, pelaksanaan NETR dijangka mampu menarik pelaburan sehingga RM1.85 trilion serta mewujudkan kira-kira 310,000 peluang pekerjaan hijau menjelang tahun 2050. Ini menunjukkan bahawa agenda peralihan tenaga bukan sekadar usaha menangani perubahan iklim, malah menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi baharu negara.

“Walaupun perkembangan ini amat memberangsangkan, Kerajaan menyedari masih terdapat beberapa cabaran yang perlu ditangani. Antaranya ialah keperluan memperkukuh infrastruktur grid bagi menyokong peningkatan kapasiti TBB, mempercepat pembangunan teknologi penyimpanan tenaga seperti Battery Energy Storage System (BESS) dan memperluaskan akses kepada pembiayaan hijau yang kompetitif.

“Sehubungan itu, PETRA akan terus memperkukuh kerjasama dengan semua pihak berkepentingan melalui dasar yang menyokong pelaburan, inovasi teknologi dan pembangunan industri tempatan.

“Pendekatan ini penting bagi memastikan agenda peralihan tenaga negara dilaksanakan secara teratur, berdaya saing, mampu milik dan pada masa yang sama terus menjamin keselamatan bekalan elektrik negara,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO