MRSM: Dr Asyraf Zahir Rasa Kesal, Arah Pengetua Ambil Tindakan Tegas

KUALA LUMPUR, 24 Nov – Pengerusi Majlis Amanah Rakyat (MARA), Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki menzahirkan rasa kesal atas aduan penyediaan makanan yang tidak memuaskan oleh kontraktor di Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) Tun Ghafar Baba.

Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau berpandangan bahawa penyedia makanan seolah-olah mengabaikan kualiti makanan yang disediakan kerana kontrak mereka sudah hampir tamat.

“Saya cukup marah dan amat terkesan apabila membaca WhatsApp dan mesej peribadi di ruangan media sosial sebentar tadi.

“Ada beberapa pelajar dan ibu bapa dari MRSM Tun Ghafar Baba Melaka yang menghubungi saya mengadu berkenaan penyediaan makanan di Dewan Selera petang tadi tidak memuaskan kerana ada ayam yang tidak dimasak dengan sempurna.

“Apabila saya minta pengurusan semak, rupanya kontrak penyedia makanan hanya berbaki sebulan sahaja lagi. Sudah semacam satu ‘trend’ apabila satu-satu kontrak sudah hampir tamat tempoh, maka penyedia makanan semacam mengabaikan kualiti makanan yang disediakan,” katanya.

Beliau yang juga Setiausaha Agung UMNO turut mengarahkan Pengetua untuk segera melakukan siasatan dan mengambil tindakan tegas terhadap kontraktor tersebut.

“Saya amat kecewa dengan sikap kontraktor yang tidak bertanggungjawab seperti ini. Saya sudah minta pengetua segera menyiasat dan mengambil tindakan tegas malam ini juga. Kesian anak-anak pelajar yang tidak ramai berkemampuan untuk membeli makanan alternatif di kafe atau koperasi. Apatah lagi buat pelajar-pelajar Tingkatan 5 yang sedang menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

“Baru beberapa minggu lepas saya melakukan #Terjah di MRSM ini dan memberi amaran kepada Penyelia Dewan Selera agar pastikan kualiti makanan yang disediakan menepati piawai yang MARA tetapkan,” katanya lagi.

Mengulas lanjut, beliau menegaskan bahawa kontraktor makanan boleh dikenakan penalti dan disenarai hitamkan sekiranya mereka gagal melaksanakan tanggungjawab dengan sebaiknya.

“Apa pun, saya telah meminta Pengurusan MARA, khususnya Bahagian Pendidikan Menengah, untuk mengambil tindakan segera malam ini juga untuk menyelesaikan isu ini.
Ini soal kebajikan pelajar yang saya tidak boleh tolak ansur.

“Malah kontraktor makanan boleh dikenakan penalti dan akan disenarai hitamkan daripada mendapat apa-apa manfaat daripada MARA pada masa akan datang.

“Ingatlah keuntungan yang diperoleh daripada hasil yang curang dan menyimpang tidak akan pernah punya keberkatan, malah menjadi asbab kepada kecelaruan dan kesengsaraan hidup berterusan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO