Sambutan Hari Peneroka Bukti Penghargaan Kepada Jasa Warga FELDA

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menzahirkan penghargaan kepada seluruh warga FELDA atas sumbangan besar mereka dalam membangunkan negara sempena Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA yang berlangsung di Jengka, Pahang.

Beliau yang juga Presiden UMNO berkata, majlis tersebut memberi peluang untuk bertemu, beramah mesra dan menyantuni para peneroka serta keluarga yang menjadi tunjang kepada kejayaan FELDA sepanjang tujuh dekad penubuhannya.

“Alhamdulillah, dapat bersama-sama meraikan Sambutan Hari Peneroka dan Ulang Tahun Ke-70 FELDA bersama semua warga FELDA yang hadir dari seluruh negara di Jengka, Pahang.

“Beberapa inisiatif baharu diumumkan demi kesejahteraan warga FELDA, meliputi aspek pendidikan, kebajikan serta pembangunan generasi peneroka.

“Mudah-mudahan segala usaha yang dilaksanakan ini akan terus memberi manfaat kepada warga FELDA di seluruh negara,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Ahmad Zahid turut merakamkan penghargaan kepada seluruh warga FELDA atas sambutan mesra yang diberikan sepanjang program berkenaan.

Beliau berharap hubungan silaturahim yang terjalin akan terus diperkukuhkan, sekali gus memastikan legasi FELDA terus berkembang dan memberi manfaat kepada generasi masa kini serta akan datang.

“Terima kasih saya ucapkan kepada seluruh warga FELDA atas sambutan yang begitu mesra. Semoga ikatan silaturahim ini terus utuh dan legasi FELDA terus subur, membawa manfaat kepada generasi hari ini dan akan datang.

“Selamat Hari Peneroka kepada seluruh warga FELDA. Semoga Allah SWT terus memberkati setiap usaha dan pengorbanan yang telah dicurahkan demi agama, bangsa dan tanah air,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO