Saat Akhir Kempen Jentera Perlu Kekal Fokus – Megat Zulkarnain

BATU PAHAT, 8 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Selangor, Datuk Megat Zulkarnain Omardin menyeru seluruh jentera dan penyokong Barisan Nasional (BN) agar terus istiqamah memperhebat gerak kerja kempen sehingga tamat tempoh berkempen bagi memastikan kemenangan calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Rengit, Zaidi Japar pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.

Beliau berkata demikian ketika turun membantu kempen Zaidi menerusi program sembang santai bersama pengundi di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Perpat, hari ini.

Menurut beliau, dalam tempoh beberapa hari terakhir sebelum hari pengundian, seluruh jentera perlu menggandakan usaha mendekati pengundi dan tidak sesekali leka dengan pelbagai tohmahan serta fitnah yang dimainkan pihak lawan.

“Kita teruskan perjuangan sehingga ke garisan penamat. Dalam politik, kita tidak mungkin dapat memuaskan hati semua orang pada satu-satu masa, namun apa yang lebih penting ialah memastikan perjuangan parti dan kebajikan rakyat sentiasa menjadi keutamaan,” katanya.

Megat Zulkarnain turut mengingatkan bahawa taktik memainkan persepsi dan fitnah akan terus digunakan bagi mengelirukan pengundi, justeru ahli dan penyokong BN diminta kekal tenang serta tidak mudah terpengaruh dengan dakyah pembangkang.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru para pengundi, termasuk anak-anak Johor yang berada di luar kawasan, agar pulang menunaikan tanggungjawab mengundi demi menentukan masa depan negeri serta memastikan kestabilan politik dapat terus diperkukuhkan. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO