PRN Johor: AIRA Dilancar Perkasa Kempen Digital BN
JOHOR BAHRU, 8 Julai – Barisan Nasional (BN) hari ini melancarkan Artificial Intelligence Rakyat Assistance (AIRA), sebuah chatbot berasaskan kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan sebagai platform rasmi penerangan digital bagi membantu pengundi mendapatkan maklumat berkaitan Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan pantas dan tepat.
Ketua Penerangan UMNO Malaysia, Datuk Seri Azalina Othman Said yang menyempurnakan pelancaran ini melalui platform dalam talian berkata, AIRA dibuat pada fasa akhir kempen kerana ketika ini pengundi memerlukan jawapan segera bagi membantu mereka membuat keputusan sebelum hari pengundian pada 11 Julai.
Menurut beliau, sepanjang tempoh kempen BN telah membawa pelbagai mesej berkaitan kestabilan, rekod perkhidmatan, calon serta tawaran kepada rakyat Johor, dan kini semua naratif tersebut perlu disampaikan secara lebih mudah dan terus kepada pengundi.

“AIRA diwujudkan sebagai alat fasa penutup kempen. Ia membantu rakyat mendapatkan jawapan yang ringkas, cepat dan tepat mengenai perkara-perkara penting seperti calon di kawasan masing-masing, nombor calon, tawaran BN, isu semasa serta mengapa rakyat perlu memilih Barisan Nasional,” katanya ketika melancarkan AIRA di sini, hari ini.
Beliau berkata, AIRA boleh diakses menerusi laman web www.airabn.chat dan berfungsi sebagai rujukan kepada rakyat serta jentera kempen tanpa menggantikan peranan petugas di lapangan.
“AIRA bukan untuk menggantikan jentera, sebaliknya memperkukuhkan gerak kerja penerangan. Apabila rakyat bertanya, AIRA membantu memberikan jawapan. Apabila jentera memerlukan rujukan, AIRA menjadi platform yang memudahkan penyampaian maklumat,” katanya.
Azalina berkata, platform itu turut dibangunkan bagi mendekati golongan muda khususnya Generasi Z yang lebih gemar mendapatkan maklumat secara pantas, interaktif dan melalui telefon pintar.
Sehubungan itu, beliau meminta semua jentera BN memanfaatkan program e-sukan yang akan diadakan di kesemua 56 Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor bagi memperkenalkan AIRA kepada golongan muda.
“Saya mahu semua jentera membawa QR Code AIRA, mengajak anak muda mengimbas kod tersebut dan mendapatkan maklumat terus melalui www.airabn.chat. Jadikan setiap program sebagai medan penerangan dan engagement bersama pengundi muda,” katanya.

Beliau turut mengingatkan seluruh jentera penerangan supaya menggunakan tiga hari terakhir tempoh berkempen untuk memperkukuhkan penyampaian mesej kepada pengundi.
Katanya, setiap bahan kempen, video, poster dan hantaran media sosial perlu membawa mesej yang jelas supaya rakyat memilih calon BN dan memangkah logo dacing pada hari pengundian.
“Ini bukan masa untuk memperlahankan gerak kerja, sebaliknya masa untuk memecut. Setiap tindakan mesti membawa pengundi kepada keputusan akhir iaitu mengundi Barisan Nasional,” katanya. – UMNO Online
