Politik Fitnah Tidak Laku di Endau, Tegas Alwiyah

ENDAU, 8 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Endau, Alwiyah Talib menegaskan bahawa kempen fitnah yang dimainkan pihak lawan tidak akan menggugat keyakinan rakyat, sebaliknya hanya menyerlahkan ketandusan idea mereka dalam berpolitik.

Beliau yang juga penyandang DUN Endau berkata, masyarakat kini jauh lebih matang dan bijak menilai setiap dakwaan yang disebarkan, apatah lagi dengan kemudahan media sosial yang membolehkan maklumat disemak serta-merta.

“Saya sangat yakin, apa juga fitnah yang disampaikan, rakyat sekarang sudah bijak menilai. Semua orang ada media sosial. Kalau perkara itu benar sekalipun barulah rakyat akan percaya, tetapi saya tidak nampak ia menjejaskan kempen kerana saya sangat yakin dengan kebijaksanaan pengundi.

“Setiap fitnah yang dilemparkan berjaya kita patahkan kerana memang perkara itu tidak pernah berlaku. Apa yang dituduh langsung tidak berasas dan hanya direka-reka untuk mengelirukan rakyat.

“Saya percaya pengundi di Endau lebih matang dan tidak mudah dipengaruhi dengan politik fitnah. Mereka mampu membezakan antara fakta, mahu pun  propaganda yang sengaja dimainkan untuk menutup kelemahan pihak tertentu,” katanya kepada UMNO Online.

Kata beliau, BN memilih untuk menawarkan rekod perkhidmatan, kestabilan dan penyelesaian kepada rakyat, bukannya menjadikan fitnah serta serangan peribadi sebagai senjata politik demi meraih sokongan.

“Rakyat tidak lagi mudah dipengaruhi dengan permainan persepsi. Mereka mahu melihat hasil kerja, keikhlasan dan kesungguhan pemimpin dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi, bukannya politik kebencian yang memecah-belahkan masyarakat,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, BN akan terus memberi tumpuan kepada usaha mendekati rakyat dan membentangkan agenda yang mampu membawa kemajuan serta kesejahteraan kepada penduduk DUN Endau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO