Cikgu Syar’e Komited Selesai Isu Perumahan Generasi Kedua
BUKIT KEPONG, 8 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong, Cikgu Syar’e meletakkan penyelesaian isu perumahan generasi kedua antara tujuh ikhtiar menerusi manifesto yang ditawarkannya kepada rakyat di kawasan tersebut.
Beliau berkata, komitmen tersebut membuktikan kesungguhan BN untuk memastikan generasi muda memiliki kediaman sendiri selain memperluaskan peluang pemilikan rumah mampu milik di kampung-kampung tradisional yang turut berdepan kekangan tanah dan ruang pembangunan.

Menurut Cikgu Syar’e, manifesto pertama yang dibawanya memberi fokus kepada penyelesaian isu perumahan generasi kedua di FELDA Maokil, FELDA Sri Jaya, FELDA Sri Ledang serta FELCRA Bukit Kepong kerana ia merupakan antara tuntutan utama penduduk sejak sekian lama.
“Hari ini kita membawakan inisiatif yang pertama bagi manifesto DUN Bukit Kepong. Barisan Nasional menawarkan penyelesaian isu perumahan generasi kedua dengan fokus kepada FELDA Maokil, FELDA Sri Jaya, FELDA Sri Ledang dan juga FELCRA Bukit Kepong.
“Hal perumahan generasi kedua ini menjadi isu hangat apabila UMNO/Barisan Nasional kalah pada 2018. Sebab itulah hari ini kita meletakkannya inisiatif yang pertama bagi menangani ataupun menyelesaikan isu ini sangat penting. Apa yang telah dimulakan oleh Barisan Nasional perlu kita selesaikan untuk kali ini,” katanya.
Ikhtiarnya yang kedua ialah memperluaskan peluang pemilikan rumah mampu milik di kampung-kampung tradisional supaya lebih ramai keluarga dan anak-anak tempatan berpeluang memiliki kediaman sendiri.
“Kita juga akan memberi perhatian kepada projek Rumah Mampu Milik di Pekan Lenga yang melibatkan 84 unit serta rumah transit di Sungai Meda, Bukit Kepong yang masih belum diselesaikan. Ini juga menjadi tumpuan kita,” katanya lagi.
Manakala manifesto yang ketiga ialah berkaitan memperkasa industri kecil dan sederhana (IKS) sebagai pemacu ekonomi tempatan.

“IKS adalah nadi ekonomi Bukit Kepong yang perlu diperkasa agar lebih berdaya saing dan mampu berkembang ke pasaran yang lebih luas. Saya memberi komitmen akan memperluas peluang latihan keusahawanan, membantu usahawan akses kepada pembiayaan, latihan dan pemasaran.
“Begitu juga menggalakkan penggunaan teknologi dan pendigitalan, mempromosikan produk tempatan ke peringkat negeri dan nasional serta mengukuhkan kerjasama antara usahawan, agensi kerajaan dan sektor swasta,” katanya.
Ikhtiar Keempat, mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan berkualiti dengan menggalakkan pelaburan yang sesuai dengan potensi ekonomi Bukit Kepong selain memperluas latihan kemahiran, Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) dan program peningkatan kompetensi,” ujarnya.
Seterusnya kelima, mengutamakan kebajikan rakyat dan komuniti yang prihatin, penyayang dan inklusif.
jadikan DUN Bukit Kepong sebagai komuniti yang prihatin, penyayang dan inklusif.
Jelasnya lagi, ikhtiar keenam adalah memperkasa orang muda dengan menyediakan lebih banyak platform pembangunan kepimpinan belia, menggalakkan aktiviti sukan, kesukarelawanan dan inovasi serta menjadikan belia sebagai rakan strategik dalam pembangunan DUN Bukit Kepong.
Terakhir, memperkukuh infrastuktur dan kemudahan awam dalam memberikan kualiti hidup yang lebih selesa, selamat dan mampan untuk semua. – UMNO ONLINE
