Kerajaan Putuskan LPT3 Dilaksana Secara PPP, Kadar Tol Belum Dimuktamadkan

KUALA LUMPUR, 8 Julai – Kerajaan telah memutuskan bahawa cadangan Projek Lebuhraya Pantai Timur Fasa 3 (LPT3) dilaksanakan secara penswastaan dengan kaedah Kerjasama Awam Swasta (PPP) melalui bidaan bersaing Request For Proposal (RFP).

Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Dr Ahmad Maslan berkata, walau bagaimanapun, kadar tol bagi Lebuhraya LPT3 masih belum dimuktamadkan dan akan ditentukan berpandukan kepada beberapa faktor.

“Untuk makluman, kerajaan telah memutuskan bahawa cadangan Projek LPT3 dilaksanakan secara penswastaan dengan kaedah PPP melalui bidaan bersaing RFP. Selaras dengan kaedah pelaksanaan projek lebuh raya secara penswastaan, kos pembangunan LPT3 ini akan ditanggung sepenuhnya oleh pembida yang berjaya.

”Kadar tol bagi Lebuhraya LPT3 masih belum dimuktamadkan dan akan ditentukan berpandukan beberapa faktor antaranya kos pembinaan, kos pembiayaan, kos operasi dan penyelenggaraan, unjuran trafik serta tempoh konsesi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi soal jawab menteri di Parlimen, sebentar tadi.

Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO menegaskan bahawa fokus utama kerajaan adalah untuk memastikan kelancaran dan penyiapan projek Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) serta Lebuhraya Kota Bharu – Kuala Krai (KBKK) mengikut jadual.

“Kementerian Kerja Raya (KKR) telah mengemukakan Penyataan Keperluan Projek (SON) kepada Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS JPM) bagi tujuan penyediaan dokumen RFP untuk pertimbangan dan kelulusan Jemaah Menteri.

“Buat masa ini, fokus utama Kerajaan adalah untuk memastikan kelancaran dan penyiapan projek LTU dan Lebuhraya KBKK mengikut jadual.

“Penyiapan projek-projek ini amat penting bagi melengkapkan jaringan perhubungan strategik yang akan memberi manfaat langsung kepada kelangsungan hidup rakyat, khususnya di negeri-negeri Pantai Timur,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO