HAWA Melaka Bersama Persatuan Ibu Tunggal Anjur Persona HAWA Di DUN Sg Balang
MUAR, 8 Julai – HAWA Melaka bersama Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Muar pada petang Selasa turun padang membantu kempen Barisan Nasional (BN) di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Balang, di sini.
Pengerusi HAWA Melaka Datuk Haryaty Hamdzah berkata program Pesona HAWA iaitu aktiviti Seni Henna dan Silaturahim telah berlangsung dalam suasana penuh kemesraan bersama komuniti wanita di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Parit Jawa Utara.

“Seramai 50 orang peserta telah bersama-sama mengikuti sesi pengenalan dan pembelajaran asas seni henna, termasuk teknik lakaran asas, penggunaan kon henna, corak tradisional serta kreativiti dalam menghasilkan reka bentuk henna yang menarik.
“Lebih daripada sekadar seni kecantikan, henna menjadi ruang untuk wanita berkumpul, berkongsi cerita, membina keyakinan diri serta mengeratkan hubungan silaturahim antara satu sama lain. Seni kecil di hujung jari mampu menjadi jambatan besar dalam membina ukhuwah komuniti,” katanya.
Hadir sama calon BN DUN Sungai Balang Cikgu Selamat Takim, Pengerusi Persatuan Ibu Tunggal Parlimen Muar Hajah Lamah Ahmad dan barisan kepimpinan Wanita dan Puteri UMNO/BN Kota Melaka.
Tambah Haryaty yang juga Exco Wanita UMNO Malaysia, seni henna mampu menjana pendapatan bagi mereka yang mempunyai kemahiran dan program yang dianjurkan ini sebagai pencetus minat.
Selanjutnya, Haryaty mengucapkan terima kasih kepada mereka yang hadir dan berharap ia menjadi satu anjakan paradigm dalam meningkat kemahiran dan potensi diri.
“Terima kasih kepada semua peserta yang hadir dengan semangat positif dan ceria. Semoga program sebegini terus menjadi platform memperkasa wanita melalui ilmu, kemahiran dan jaringan persaudaraan,” katanya.
HAWA Malaysia yang diterajui Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil adalah satu badan bukan kerajaan (NGO) yang aktif menganjurkan pelbagai program kesedaran, latihan kemahiran, dan seminar untuk membantu golongan wanita di seluruh negara. – UMNO ONLINE
