Berhenti Persenda Syiar Islam, Pemimpin PKR Dibidas

PARIT SULONG, 8 Julai – “Janganlah persenda syiar Islam walau untuk tujuan apa sekalipun.”

Demikian tegas bekas Exco Hal Ehwal Agama Islam Negeri Johor Mohd Fared Mohd Khalid kepada seorang pemimpin PKR/Pakatan Harapan (PH) yang membuat video ‘talkin pilihan raya’ kepada pengundi-pengundi Johor, sempena pilihan raya negeri (PRN) ini.

“Carilah cara lain untuk berkempen. Jangan cemar syiar Islam dengan cara politik murahan.

“Talkin di sisi masyarakat Islam adalah amalan sunat dan ia syiar Islam. Ia beri peringatan kepada si mati juga nasihat kepada yang hidup.

“Adakah pemimpin ini menganggap bahawa pengundi-pengundi Johor ‘sudah mati’? Ia seolah-olah merendah-rendahkan kita Bangsa Johor,” tegas Mohd Fared dalam satu kenyataan di sini mengulas perkara berkenaan.

Mohd Fared yang juga calon dan penyandang bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semerah berkata talkin bukan perkara lawak yang boleh dianggap gurauan dan perbuatan pemimpin PKR itu jelas satu persendaan yang punyai niat yang merugikan.

“Berhentilah dari terus mempersenda syiar agama. Islam dan seluruh isi syiarnya adalah mulia.

“Cara kamu yang seperti ini bukanlah akhlak terbaik seorang mukmin. Dan di Johor kempen seperti ini pasti akan ditolak,” katanya.

Bahkan ujarnya, rakan pemimpin itu dalam partinya sendiri iaitu Altimet atau Syed Ahmad Bin Syed Abdul Rahman juga menegur supaya ‘perkara membabitkan agama tidak sepatutnya dijadikan bahan gurauan atau dipermainkan walaupun dengan niat untuk menyampaikan mesej politik.’

“Bangsa Johor ni bijak… bijak membezakan antara si pelawak dengan ahli politik matang. Kita menyeru supaya semua pengundi-pengundi Johor menolak Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Johor kali ini.

“Orang-orang Johor semua belajar agama. Kita dididik untuk mengamalkan serta memuliakan Islam dan syiarnya.

“Mempersenda syiar Islam bukan cara kita di Johor dan watak seperti ini tidak boleh dibenarkan bertapak di Johor Darul Ta’zim,” katanya. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO