Beaufort Cadang Kerajaan Tetap Tempoh Masa Agensi Beri Maklum Balas Kepada SUHAKAM
KUALA LUMPUR, 8 Julai – Ahli Parlimen Beaufort, Datuk Seri Aminah Aching mencadangkan agar kerajaan menetapkan tempoh masa yang wajib dipatuhi oleh setiap agensi untuk memberi maklum balas kepada Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM).
Ini kerana katanya, hanya 41 peratus kes yang berjaya diselesaikan pada tahun 2024 dan lebih membimbangkan, ia melibatkan aduan hak mendapatkan suaka serta status pelarian.

“Pada tahun 2024, sebanyak 1,074 aduan diterima, iaitu jumlah tertinggi dalam tempoh lima tahun, meningkat daripada 649 aduan pada tahun 2023. Daripada jumlah itu, 867 aduan disahkan melibatkan pelanggaran hak asasi manusia, namun hanya 356 kes atau 41 peratus berjaya diselesaikan.
“Lebih membimbangkan, aduan tertinggi melibatkan hak mendapatkan suaka dan status pelarian, diikuti hak kanak-kanak serta hak kepada taraf kehidupan yang mencukupi. Keadaan ini menunjukkan bahawa golongan paling rentan masih berdepan kesukaran untuk mendapatkan perlindungan dan keadilan yang sewajarnya.
“Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan menetapkan tempoh masa yang wajib dipatuhi oleh setiap agensi untuk memberi maklum balas kepada SUHAKAM. Pada masa yang sama, agensi yang gagal mematuhi tempoh tersebut wajar disenaraikan dalam Laporan Tahunan SUHAKAM sebagai langkah memperkukuh akauntabiliti dan memastikan setiap aduan mendapat tindakan yang berkesan, bukan sekadar direkodkan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi perbahasan di Dewan Rakyat, sebentar tadi.
Aminah yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO turut mengalu-alukan pindaan Perlembagaan 2024 yang memberi hak kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia.
“Laporan Tahunan SUHAKAM 2024 merekodkan 42 aduan diterima oleh Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak, dengan kategori tertinggi melibatkan hak kepada dokumen pengenalan diri dan kewarganegaraan.
“Saya mengalu-alukan pindaan Perlembagaan 2024 yang memberi hak kewarganegaraan kepada anak yang dilahirkan di luar negara oleh ibu warganegara Malaysia. Namun, pindaan ini belum menyelesaikan isu utama yang dibangkitkan oleh SUHAKAM, iaitu nasib kanak-kanak yang ditinggalkan tanpa sijil kelahiran atau dokumen pengenalan diri.
“Walaupun dibesarkan oleh keluarga angkat warganegara Malaysia, mereka masih perlu memohon kewarganegaraan di bawah Perkara 15A, satu proses yang mengambil masa lama dan bergantung kepada budi bicara Menteri,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan kerajaan mewujudkan mekanisme khas dengan tempoh pemprosesan bagi permohonan kewarganegaraan kanak-kanak tanpa dokumen.
“Justeru, saya mencadangkan agar kerajaan mewujudkan mekanisme khas dengan tempoh pemprosesan yang jelas bagi permohonan kewarganegaraan kanak-kanak tanpa dokumen, memperkukuh Jawatankuasa Khas Status Kewarganegaraan, serta mempercepat penyelesaian semua kes tertunggak.
“Malaysia telah meratifikasi Konvensyen Hak Kanak-Kanak (CRC) sejak 1995. Oleh itu, memastikan setiap kanak-kanak mempunyai identiti dan kewarganegaraan bukan sekadar memenuhi komitmen antarabangsa, tetapi juga menjamin masa depan mereka sebagai sebahagian daripada negara ini,” katanya lagi. – UMNO Online
