Undi Muda Penentu Kestabilan Johor, Mohamad Hasan Seru Tolak Fitnah
ISKANDAR PUTERI, 7 Julai – Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan menyeru pengundi muda di Johor agar membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) demi memastikan negeri itu terus menikmati kestabilan politik dan pembangunan yang berterusan.
Beliau berkata, kelompok pengundi muda kini menjadi majoriti dengan peratusan melebihi 60 peratus daripada keseluruhan pengundi, sekali gus memainkan peranan penting dalam menentukan masa depan Johor.
Menurut beliau, golongan muda perlu menilai sesuatu berdasarkan fakta dan tidak mudah terpengaruh dengan fitnah serta tohmahan yang berleluasa di media sosial.

“Buatlah keputusan yang baik dan tepat supaya kerajaan yang dibentuk selepas 11 haribulan nanti dapat mentadbir Johor dengan mantap untuk tempoh lima tahun akan datang.
“Jangan kita pilih kerajaan tetapi tidak memberikan majoriti yang selesa sehingga akhirnya kerajaan tidak dapat menumpukan perhatian kepada pentadbiran kerana terpaksa berdepan pertelagahan sesama parti dalam gabungan kerajaan,” katanya.
Mohamad yang juga Menteri Luar merangkap Ahli Parlimen Rembau berkata, pengalaman selepas Pilihan Raya Umum (PRU) 2018 membuktikan ketidakstabilan politik tidak membawa manfaat kepada rakyat, sebaliknya hanya menjejaskan usaha membangunkan negeri.
Beliau berkata, keputusan rakyat Johor pada pilihan raya lalu yang memberikan mandat besar kepada Barisan Nasional (BN) membolehkan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, memberi tumpuan sepenuhnya kepada pentadbiran dan pembangunan negeri.
“Hasilnya, rakyat Johor menikmati kestabilan, ketenteraman dan pelbagai pencapaian pembangunan yang memberi manfaat kepada mereka,” katanya.
Mengulas mengenai manifesto BN, beliau berkata dokumen tersebut bukan sekadar menjanjikan perkara baharu, sebaliknya meneruskan agenda pembangunan sedia ada yang terbukti berkesan.

“Manifesto BN yang dibentangkan baru-baru ini merupakan manifesto yang menyambung kerja dan menyudahkan kerja, dengan dasar-dasar yang mampu dilaksanakan dalam tempoh lima tahun akan datang,” ujar beliau.
Beliau berkata demikian dalam Program Sembang Santai bersama pengundi di PDM Lima Kedai, di sini, malam tadi. Turut hadir ialah Ketua UMNO Bahagian Iskandar Puteri, Datuk Hairi A. Malik, dan calon BN Kota Iskandar, Datuk Pandak Ahmad.
Terdahulu dalam ucapannya, Mohamad mengingatkan supaya rakyat tidak lagi terpedaya dengan fitnah dan tohmahan yang disifatkan hanya bertujuan mengelirukan pengundi menjelang hari pengundian.
Jelasnya, pelbagai dakwaan yang dimainkan terhadap BN, termasuk kononnya kemenangan BN akan membawa kepada pembebasan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, sedangkan ia tidak mempunyai kaitan dengan PRN Johor.
“Jangan percaya cakap orang, kalau menang nak bebaskan Datuk Najib. Tak ada kena-mengena. Ini pilihan raya peringkat negeri, bukan sampai ke persekutuan.
“Rakyat sepatutnya membuat pilihan berdasarkan kemampuan sesebuah parti mentadbir negeri, bukannya terpengaruh dengan persepsi atau retorik politik.”
Mohamad berkata, rakyat Johor telah membuat keputusan yang tepat pada PRN 2022 apabila memberikan majoriti lebih dua pertiga kepada BN, sekali gus membolehkan kerajaan negeri yang dipimpin Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi, mentadbir dengan stabil dan berkesan.
Katanya, kestabilan politik itu telah membawa kepada pelbagai kejayaan termasuk kemasukan pelaburan yang tinggi serta pelaksanaan pelbagai agenda pembangunan untuk manfaat rakyat.
“Datuk Onn Hafiz telah terbukti mempunyai kelebihan dan mampu bekerja. Manifesto yang dibentangkan adalah untuk menyambung apa yang sedang dilaksanakan.
“Sejak 2022, Johor terus membangun dengan pelaburan mencurah-curah masuk ke negeri ini dan menjadi antara yang tertinggi berbanding negeri lain.
“Jadi jangan lagi tertipu. Kita teruskan sokongan kepada BN. Berilah kepercayaan semula kepada BN dan undilah BN,” katanya. – UMNO Online
