PRN Johor: Pihak Lawan Kemaruk Isu – Mohamad Alamin
TANJUNG PIAI, 7 Julai – Ahli Parlimen Kimanis, Datuk Mohamad Alamin menyifatkan tindakan pihak tertentu yang terus membawa pelbagai isu nasional ke pentas kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor hanyalah cubaan untuk mengalih perhatian rakyat daripada agenda sebenar yang perlu diberikan keutamaan.
Menurut beliau, PRN Johor seharusnya menjadi medan untuk rakyat menilai prestasi kerajaan negeri serta menentukan kesinambungan pembangunan, bukannya dijadikan platform memainkan isu-isu yang tidak mempunyai kaitan secara langsung dengan kepentingan negeri.
Katanya, Barisan Nasional (BN) memilih pendekatan lebih matang dan profesional dengan menawarkan rekod pencapaian serta hala tuju pembangunan Johor, berbanding terus memainkan persepsi dan polemik politik.
“Kenapa kita perlu menang dalam PRN ini adalah untuk mempertahankan kesinambungan, kemajuan dan kestabilan yang telah dibawa oleh Barisan Nasional di Johor selama ini di bawah kepimpinan Menteri Besar.
“Jangan kita hentikan momentum pembangunan yang sedang berjalan. Apa yang dilakukan oleh pihak tertentu dengan membawa pelbagai isu nasional ke PRN Johor hanyalah usaha untuk mengalih perhatian rakyat daripada perkara yang lebih penting,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas membantu kempen BN PRN Johor, di DUN Kukup bersama Hj Israk Abdullah.
Mohamad Alamin yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO seterusnya menambah rakyat Johor kini lebih bijak menilai dan mahukan penyelesaian terhadap isu yang memberi kesan kepada kehidupan mereka, bukannya terus dihidangkan dengan polemik politik yang tidak membawa manfaat.
Tambah beliau, kerajaan negeri di bawah BN mempunyai rekod yang jelas dalam melaksanakan pelbagai agenda pembangunan termasuk memperkasa perusahaan kecil dan sederhana (PKS), memperluaskan peluang TVET, membangunkan usahawan serta memperkasakan golongan wanita dan belia.
“Sebab itu kita tidak perlu melayan cubaan untuk mengheret isu-isu yang tiada kaitan dengan pembangunan Johor. Biarlah kita bersaing secara sihat dengan menawarkan dasar dan agenda kepada rakyat, bukannya bermain persepsi.
“Mereka boleh membawa agenda mereka, tetapi BN akan terus membawa agenda untuk rakyat dan negeri Johor,” katanya.
Mengulas perkembangan kempen, Mohamad berkata maklum balas yang diterima sepanjang turun padang amat positif dengan semakin ramai pengundi menyatakan keyakinan terhadap rekod pentadbiran BN.
“Saya melihat sendiri dalam siri kempen ini sambutan rakyat sangat baik. Alhamdulillah, sudah nampak sinar di hujung terowong. Insya-Allah rakyat akan terus bersama Barisan Nasional untuk mengekalkan kerajaan negeri yang telah membuktikan prestasi dan pencapaian yang baik.
“Itulah kekuatan kita. Rakyat boleh menilai sendiri rekod, prestasi dan apa yang telah dilaksanakan untuk Johor. Jangan mudah terpengaruh dengan cubaan mengalih perhatian melalui isu-isu yang sengaja dimainkan sepanjang kempen,” katanya lagi.- UMNO Online
