Politik Fitnah Tidak Akan Membawa Johor Ke Hadapan – Norshida
JOHOR BAHRU, 7 Julai – Naib Ketua Wanita UMNO Johor Datuk Norshida Ibrahim mengingatkan rakyat negeri itu supaya tidak mudah terpengaruh dengan politik fitnah dan permainan persepsi yang terus dimainkan pihak pembangkang menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Menurut beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Segamat, apabila fakta dan pencapaian tidak lagi memihak kepada pembangkang, pelbagai dakwaan serta naratif yang mengelirukan sengaja dimainkan bagi mempengaruhi emosi rakyat.
Katanya, rakyat Johor kini jauh lebih matang dalam membuat penilaian dan mampu membezakan antara fitnah serta fakta berdasarkan rekod pentadbiran kerajaan.
“Sepanjang pentadbiran Kerajaan Negeri Johor, pelbagai inisiatif telah dilaksanakan demi kesejahteraan Bangsa Johor termasuk meningkatkan pelaburan, membuka lebih banyak peluang pekerjaan, mempercepat pembangunan infrastruktur serta memperkasakan bantuan kepada rakyat. Inilah yang sepatutnya menjadi ukuran rakyat, iaitu hasil kerja dan bukannya cerita yang direka,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Beliau berkata budaya politik yang gemar mencipta persepsi negatif tanpa menawarkan penyelesaian yang realistik bukan sahaja tidak sihat, malah boleh menjejaskan usaha pembangunan negeri yang memerlukan kestabilan politik untuk terus berkembang.
Tambah beliau, perbezaan pandangan dalam demokrasi perlu diraikan, namun ia mestilah berlandaskan fakta, dasar dan idea yang membina, bukannya fitnah atau serangan peribadi yang hanya mengundang perpecahan.
Sehubungan itu, Norshida menyeru rakyat Johor agar membuat pilihan yang bijak dengan memilih kepimpinan yang mempunyai rekod bekerja serta mampu membawa penyelesaian kepada pelbagai isu rakyat.
“Johor memerlukan politik yang membina, bukannya politik kebencian yang bersandarkan fitnah dan permainan persepsi. Masa depan Bangsa Johor perlu dipertahankan dengan kepimpinan yang stabil, berintegriti dan terus bekerja untuk rakyat,” katanya.- UMNO Online
