Noor Azleen Persoal Standard Berkecuali Institusi Awam Di Bawah PH

JOHOR BAHRU, 7 Julai – Ketua Pemuda UMNO Johor, Noor Azleen Ambrose mempersoalkan penganjuran sebuah program yang melibatkan jabatan di bawah Kerajaan Persekutuan ketika tempoh kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) sedang berlangsung.

Menurut beliau, rakyat berhak mengetahui standard berkecuali institusi awam, khususnya apabila Kerajaan Persekutuan diterajui oleh salah satu gabungan politik yang turut bertanding dalam pilihan raya tersebut.

Katanya, beberapa persoalan wajar dijelaskan kepada rakyat, termasuk mengapa Jabatan Penerangan serta agensi-agensi kerajaan lain terlibat dalam program berkenaan dan apakah mekanisme yang diwujudkan bagi memastikan sikap berkecuali institusi awam sentiasa dipelihara.

Beliau turut mempersoalkan pemilihan lokasi program yang disifatkan tidak benar-benar berkecuali serta mengapa wakil parti-parti lain yang bertanding seperti PN, Bersama, Muda dan PSM tidak dijemput sekiranya tujuan program adalah untuk memberi ruang yang sama rata kepada semua pihak.

Selain itu, Noor Azleen turut meminta penjelasan berhubung penggunaan sumber, peruntukan dan kemudahan kerajaan bagi program tersebut serta garis pemisah antara komunikasi rasmi kerajaan dengan aktiviti yang boleh menimbulkan persepsi mempunyai kepentingan politik.

Beliau menegaskan bahawa persoalan yang dibangkitkan bukan bertujuan membuat tuduhan, sebaliknya menuntut akauntabiliti dalam pentadbiran negara.

“Dalam sebuah demokrasi yang matang, institusi awam bukan sahaja mesti berkecuali, malah mesti dilihat berkecuali. Persepsi rakyat terhadap kebebasan dan integriti institusi awam sama pentingnya dengan tindakan institusi itu sendiri,” katanya.

Tambah beliau, institusi kerajaan merupakan milik seluruh rakyat Malaysia dan bukannya milik mana-mana kerajaan yang memerintah pada sesuatu masa.

Justeru, beliau berpandangan bahawa sepanjang tempoh pilihan raya berlangsung, setiap institusi kerajaan perlu bebas daripada sebarang persepsi memihak kepada mana-mana parti atau gabungan politik demi memastikan keyakinan rakyat terhadap integriti institusi awam terus terpelihara. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO