Momentum Sokongan Meningkat, BN Yakin Rampas Bukit Kepong Dan Pertahan Bukit Pasir
PAGOH, 7 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN) Parlimen Pagoh Datuk Ismail Mohamed melahirkan keyakinan bahawa sokongan rakyat terhadap calon-calon BN di Bukit Kepong dan Bukit Pasir terus meningkat menjelang hari pengundian.
Menurut beliau, sambutan yang diterima dalam setiap aktiviti dan turun padang menunjukkan pengundi semakin yakin untuk terus memberikan mandat kepada BN bagi meneruskan pemerintahan Kerajaan Negeri Johor.

“Setakat ini alhamdulillah, setiap kali program ceramah dan turun padang menemui pengundi, saya lihat sokongan semakin bertambah. Ramai yang hadir dan menyatakan hasrat agar BN meneruskan pemerintahan Negeri Johor serta bersedia memberi sokongan kepada calon kita, Haji Syar’e (Ahmad Syar’e Yusof) di Bukit Kepong,” katanya.
Beliau berkata, penerimaan baik terhadap Ahmad Syar’e yang dikenali sebagai Cikgu Syar’e bukanlah sesuatu yang berlaku dalam tempoh singkat, sebaliknya hasil kerja keras beliau yang telah berkhidmat bersama masyarakat sejak tiga tahun lalu.
“Haji Syar’e bukan calon yang baru diketengahkan sebulan dua. Sebenarnya sudah tiga tahun beliau bekerja untuk rakyat, bertemu masyarakat dan mendengar sendiri permasalahan mereka. Alhamdulillah, penerimaan terhadap beliau sangat baik.
“Saya berharap momentum ini dapat dikekalkan sehingga hari mengundi pada 12 Julai dan diterjemahkan dalam bentuk sokongan di peti undi. Apabila Haji Syar’e dipilih nanti, kita dapat menyelesaikan banyak perkara yang masih tertangguh khususnya di DUN Bukit Kepong,” ujar Ismail yang juga Ketua UMNO Bahagian Pagoh.
Dalam pada itu, Ismail turut optimis terhadap peluang calon BN di DUN Bukit Pasir Mohd Fazli Mohd Salleh, yang menurutnya memerlukan penggal kedua bagi meneruskan pelbagai perancangan pembangunan yang telah dimulakan.
“Apabila kita jelaskan kepada rakyat bahawa beliau memerlukan penggal kedua untuk meneruskan usaha yang telah dirancang, alhamdulillah masyarakat memberikan respons yang sangat positif.
“Kalau dahulu mungkin menang dengan majoriti tipis, kali ini saya merasakan sokongan semakin bertambah, khususnya dalam kalangan golongan muda hasil pelbagai program serta bantuan kerajaan negeri yang telah diperkenalkan.
“Insya-Allah saya yakin beliau akan terus mendapat tempat di hati rakyat dan berpeluang meningkatkan majoriti kemenangan,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera BN agar terus memperkukuh gerak kerja sehingga hari terakhir kempen bagi memastikan momentum sokongan rakyat terus dipertahankan dan diterjemahkan kepada kemenangan pada hari pengundian. – UMNO ONLINE
