KPT Komited Perkukuh Kapasiti, Kepelbagaian Program Pengajian IPTA Di Sabah
KUALA LUMPUR, 7 Julai – Menteri Pendidikan Tinggi (KPT), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir memaklumkan kementerian sentiasa komited memperkukuh kapasiti dan kepelbagaian program pengajian di Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) di Sabah.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata ia bagi memastikan pelajar tempatan mempunyai akses yang lebih luas kepada pendidikan tinggi berkualiti tanpa perlu bergantung kepada kampus di Semenanjung semata-mata.
“Sehingga 30 Jun 2026, sebanyak 16 IPTA termasuk kampus cawangan sedang beroperasi dan menawarkan pelbagai program pengajian di Sabah merangkumi empat Universiti Awam (UA), tiga Politeknik dan sembilan Kolej Komuniti.
“Antaranya Universiti Malaysia Sabah (UMS) Kota Kinabalu dan kampus Cawangan Sandakan; Universiti Teknologi MARA (UiTM) kampus Cawangan Kota Kinabalu dan Tawau; Politeknik Kota Kinabalu, Sandakan dan Tawau; Kolej Komuniti Beaufort, Kota Marudu, Lahad Datu, Papar, Penampang, Sandakan, Semporna, Tambunan dan Tawau,” katanya.
Dr Zambry berkata demikian ketika menjawab Mohd Kurniawan Naim Moktar (BN-Kinabatangan) berkenaan langkah konkrit Kementerian untuk menambah kapasiti dan kepelbagaian program Institusi Pengajian Tinggi Awam di Sabah.
Mengulas lanjut, Dr Zambry menambah dalam usaha untuk memperkukuh kepelbagaian program pengajian di IPTA di Sabah, KPT sentiasa terbuka dan sedia menerima permohonan program akademik baharu di UMS, UiTM, Politeknik dan Kolej Komuniti di Sabah.
Katanya setiap permohonan dinilai secara menyeluruh berdasarkan beberapa kriteria utama, termasuk kepakaran sedia ada universiti, keperluan semasa industri dan negara, kapasiti penyampaian institusi, permintaan pelajar, kebolehpasaran graduan dan keperluan mengelakkan pertindanan program antara Institusi Pendidikan Tinggi (IPT).
“Pendekatan ini memastikan program yang ditawarkan adalah berkualiti, relevan, dan memenuhi keperluan pembangunan ekonomi Sabah, selain mengoptimumkan penggunaan kepakaran dan sumber sedia ada.
“Pada masa ini, UMS dan kampus cawangannya memfokuskan kepada pembangunan program baharu yang berteraskan kekuatan penyelidikan, keunikan geografi serta biodiversiti Borneo yang melibatkan lima bidang kepakaran. Ini termasuklah dalam bidang Sains Marin dan Akuakultur, Bioteknologi Tropika, Sains Perubatan, Warisan dan Sosial Borneo, dan Ekopelancongan dan Perniagaan.
“Manakala untuk UiTM kampus Cawangan Sabah, kita memperkukuhkan lagi dari segi penawaran program dalam bidang seperti Pelancongan dan Hospitaliti, Perniagaan, Sains Pentadbiran, serta Sains dan Teknologi.
“Politeknik dan Kolej Komuniti di Sabah juga menyediakan pelbagai program pengajian dalam bidang seperti dalam bidang kejuruteraan, perdagangan, hospitaliti, pelancongan, teknologi dan sektor berasaskan sumber tempatan,” ujar beliau. – UMNO Online
