Kestabilan Kunci Kemakmuran Johor, Rashidah Seru Rakyat Pilih BN
BATU PAHAT, 7 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Parit Raja, Rashidah Ramli menyeru pengundi di kawasan berkenaan membuat pilihan yang bijak pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan terus memberikan mandat kepada BN demi menjamin kestabilan politik, kemajuan negeri serta kebajikan rakyat.
Menurut beliau, PRN Johor diadakan bagi memilih kerajaan negeri yang akan meneruskan agenda pembangunan dan kesejahteraan rakyat untuk tempoh lima tahun akan datang, justeru pengundi perlu menilai berdasarkan rekod serta pencapaian yang telah dibuktikan.
“Sepanjang tempoh pentadbiran kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Johor, pelbagai kejayaan telah dicapai termasuk memperkukuh pembangunan ekonomi, memperluaskan inisiatif kebajikan serta memastikan kesejahteraan rakyat terus menjadi keutamaan.
“Dalam tempoh berkempen ini, kita perlu memahami bahawa pilihan raya negeri adalah untuk membentuk kerajaan Johor. Kerajaan negeri di bawah BN sebelum ini telah meletakkan Johor di landasan pembangunan yang baik dengan kebajikan rakyat sentiasa dipelihara.
“Justeru, kempen ini seharusnya memberi tumpuan kepada usaha membentuk kerajaan yang stabil dan berupaya meneruskan agenda pembangunan negeri, bukannya diselubungi isu-isu yang boleh mengalih perhatian rakyat daripada perkara yang lebih penting,” katanya.
Beliau turut mengingatkan rakyat supaya tidak menjadikan PRN Johor sebagai medan untuk melakukan eksperimen politik, sebaliknya memilih sebuah kerajaan yang telah terbukti berpengalaman dan mempunyai rekod cemerlang mentadbir negeri.
“Rakyat perlu membuat penilaian yang waras. Pilihlah pihak yang telah terbukti membawa kestabilan politik, memacu pembangunan dan sentiasa mengutamakan kebajikan rakyat.
“Saya menyeru seluruh rakyat Johor agar memberikan sokongan dan kepercayaan kepada calon-calon Barisan Nasional di setiap kawasan DUN, khususnya di DUN Parit Raja,” ujarnya. – UMNO Online
