Kerajaan Kekal Komited Perkasa Agenda Hak Asasi Manusia

KUALA LUMPUR, 7 Julai – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said memaklumkan kerajaan kekal komited untuk memajukan, melindungi dan memenuhi hak asasi manusia secara seimbang, selaras dengan Perlembagaan Persekutuan, kedaulatan undang-undang serta kepentingan rakyat.

Beliau yang juga Ketua Penerangan UMNO Malaysia berkata ini kerana hak asasi manusia merupakan asas kepada pembentukan sebuah masyarakat yang aman, inklusif dan sejahtera yang dijamin di bawah Bahagian II Perlembagaan Persekutuan.

“Perbahasan Laporan Tahunan SUHAKAM pada hari ini merupakan kali keenam Dewan Rakyat membahaskan laporan tahunan SUHAKAM, sekali gus mencerminkan komitmen berterusan Kerajaan dalam memperkukuh agenda hak asasi manusia negara.

“Laporan Tahunan dan Penyata Kewangan SUHAKAM 2024 ini memperincikan pelaksanaan mandat SUHAKAM sepanjang tahun lalu melalui pelbagai program pendidikan, penyelidikan, lawatan pemantauan, dialog serta kerjasama dengan kementerian, agensi Kerajaan, badan kehakiman, institusi pendidikan dan pertubuhan masyarakat sivil.

“Sepanjang tahun 2024, SUHAKAM menerima 1,074 aduan, dengan 41 peratus kes berjaya diselesaikan bagi tahun semasa. Statistik ini mencerminkan peranan penting SUHAKAM sebagai institusi hak asasi manusia negara,” katanya.

Azalina berkata demikian ketika membentangkan laporan itu di Dewan Rakyat, hari ini.

Dalam pada itu beliau turut menjelaskan tahun 2024 turut menyaksikan penguatkuasaan Akta Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Pindaan) 2024 yang memperkukuh mandat SUHAKAM, termasuk melalui penubuhan Pejabat Pesuruhjaya Kanak-Kanak.

Menurutnya lagi, kerajaan juga menghargai pengiktirafan berterusan Status “A” yang diberikan kepada SUHAKAM di bawah Prinsip-Prinsip Paris, sekali gus mencerminkan keyakinan masyarakat antarabangsa terhadap institusi ini.

“Kerajaan MADANI melalui BHEUU, JPM telah melancarkan Pelan Tindakan Nasional Mengenai Perniagaan dan Hak Asasi Manusia (NAPBHR) 2025–2030 sebagai kerangka nasional bagi menggalakkan amalan perniagaan yang bertanggungjawab selaras dengan piawaian antarabangsa.

“Pelaksanaannya akan dilaksanakan secara berperingkat melalui kerjasama Kerajaan, sektor swasta dan semua pihak berkepentingan. Hak asasi manusia merupakan agenda rentas sektor yang memerlukan komitmen seluruh masyarakat.

“Justeru, Kerajaan akan terus memperkukuh pendekatan whole-of government dan whole-of-society melalui kerjasama erat dengan SUHAKAM, kementerian dan agensi Kerajaan, badan kehakiman, pihak berkuasa penguatkuasaan, institusi pendidikan, sektor swasta, pertubuhan masyarakat sivil serta media.

“Hanya melalui kerjasama semua pihak, agenda pemajuan dan perlindungan hak asasi manusia dapat terus diperkukuh demi kesejahteraan rakyat dan negara,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO