BN Johor Sudah Buktikan Prestasi, Mohd Jafni Seru Kukuhkan Mandat Rakyat

KULAI, 7 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Permai, Datuk Mohd Jafni Md Shukor yakin rakyat Johor akan terus memberikan mandat besar kepada BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kerana mereka telah merasai sendiri hasil kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

Menurut beliau, sepanjang tempoh kempen, sambutan rakyat amat memberangsangkan apabila ramai pengundi menyatakan penghargaan terhadap pelbagai inisiatif yang telah dilaksanakan kerajaan negeri.

“Rakyat Johor semakin sayang kepada Menteri Besar kerana mereka melihat sendiri hasil yang dibawa kerajaan. Apabila hasil negeri meningkat dengan begitu ketara, manfaat itu terus dikembalikan kepada rakyat melalui pelbagai bentuk bantuan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan Johor bukan sekadar mencatat peningkatan hasil negeri, malah mengagihkannya semula kepada rakyat menerusi fasa bantuan sama ada tunai dan perkhidmatan yang memberi manfaat kepada suri rumah, ibu tunggal, keluarga miskin, pemandu e-hailing dan p-hailing, anak yatim, pengerusi jawatankuasa masjid serta pelbagai kumpulan
sasar lain.

Mohd Jafni berkata, kepimpinan Onn Hafiz turut menampilkan pendekatan yang berbeza apabila memberi penekanan kepada pembangunan rohani dan kebajikan rakyat menerusi program Semarak Subuh Johor yang bermula sejak 2022.

“Program ini kini dilaksanakan sehingga tiga kali seminggu di seluruh 56 DUN di Johor selain disokong dengan pelaksanaan Infak Jumaat dan pelbagai inisiatif lain. Walaupun hasil negeri bertambah besar, keutamaan kerajaan tetap mengembalikannya kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata, kejayaan Johor turut dibuktikan apabila negeri itu muncul antara peneraju pelaburan negara sehingga merekodkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) tertinggi di Malaysia.

Dalam sektor perumahan pula, katanya, kerajaan negeri telah lebih awal melaksanakan Dasar Perumahan Johor bagi memastikan rakyat memiliki kediaman sendiri melalui pembinaan Rumah Mampu Milik Johor dan pelaksanaan Skim Jaminan Kredit Perumahan (SJKP), khususnya bagi rumah berharga RM200,000 ke bawah.

“Kita sudah lama melaksanakan dasar ini kerana kerajaan Johor mahu setiap rakyat memiliki rumah sendiri. Malah ada juga program rumah percuma untuk golongan yang layak. Apa yang kita lakukan akhirnya menjadi contoh dan diikuti pihak lain,” katanya.

Beliau menegaskan, politik hari ini seharusnya tidak lagi bergantung kepada retorik atau janji kosong, sebaliknya rakyat mahu melihat hasil yang boleh dirasai secara langsung.

“Kalau hanya berjanji bulan dan bintang tetapi rakyat tidak merasainya, tiada makna. Di Johor rakyat dapat melihat dan menikmati sendiri hasil pembangunan. Kita laksanakan pelbagai inisiatif seperti Bakul Kasih, Kombo Kasih, bantuan makanan dan pelbagai lagi yang benar-benar menyentuh kehidupan rakyat.

“Kita memilih untuk sentiasa turun padang, bertemu rakyat dan menyelesaikan masalah mereka. Hubungan antara wakil rakyat dengan pengundi itulah yang menjadi kekuatan BN di Johor,” katanya.

Mengulas peluang BN pada PRN kali ini, Mohd Jafni optimis gabungan itu mampu mempertahankan kemenangan besar dan terus menerajui Johor dengan majoriti dua pertiga.

“Kita mensasarkan sekurang-kurangnya 40 kerusi supaya kerajaan dapat mentadbir mengikut acuan yang telah dirancang. Kita sudah berada di pertengahan perjalanan ke arah menjadikan Johor sebagai negeri maju menjelang 2030.

“Kita hanya memerlukan satu lagi penggal dengan mandat yang kukuh untuk meneruskan agenda pembangunan luar biasa demi kesejahteraan rakyat. Saya yakin rakyat semakin mengenali dan menyayangi Datuk Onn Hafiz Ghazi serta mahu melihat kesinambungan kepimpinan BN diteruskan,” katanya lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO