Skim Pembiayaan KUSKOP Bantu PKS Kembang Perniagaan
KUALA LUMPUR, 6 Julai – Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Datuk Mohamad Alamin memaklumkan sejak 2024 hingga 31 Mei 2026, kementerian melalui agensi-agensi telah meluluskan pembiayaan sebanyak RM25.27 billion kepada 847,653 usahawan dan koperasi seluruh negara.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata pembiayaan yang disediakan telah membantu usahawan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) dan koperasi meningkatkan modal pusingan, mengembangkan kapasiti perniagaan, menambah baik premis dan peralatan perniagaan.
“Keberkesanan skim pembiayaan kepada usahawan dan koperasi ini dinilai melalui prestasi pembayaran balik pembiayaan oleh usahawan. KUSKOP tidak menetapkan purata Non Performing Financing (NPF) secara keseluruhan bagi semua agensi pembiayaan.
“Prestasi NPF ini diukur dan dilaporkan secara berasingan oleh setiap agensi berdasarkan pembiayaan masing masing. Secara umumnya, terdapat agensi yang menetapkan sasaran purata NPF di bawah 10 peratus
“Sehingga Mei 2026, TEKUN Nasional merekodkan kadar purata NPF sebanyak 9.69 peratus, manakala SME Bank dan Bank Rakyat masing-masing merekodkan kadar purata NPF sebanyak 10.49 peratus dan 1.93 peratus, manakala kadar NPF bagi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) adalah sebanyak 0.01 peratus,” katanya.
Mohamad berkata demikian ketika menjawab Rodiyah Sapiee (GPS-Batang Sadong) berkenaan keberkesanan skim pembiayaan di bawah agensi KUSKOP dalam membantu PMKS berkembang serta jumlah usahawan yang berjaya meningkatkan hasil perniagaan sejak tahun 2024.
Katanya prestasi bayaran balik yang baik mencerminkan keupayaan usahawan menjana pendapatan secara konsisten di samping pengurusan aliran tunai perniagaan yang berkesan serta keupayaan PKS mengekalkan kelangsungan operasi perniagaan.
“Ini menunjukkan bahawa pembiayaan yang disalurkan bukan sahaja membantu memenuhi keperluan modal perniagaan, malah turut menyumbang kepada daya tahan dan kelestarian perniagaan usahawan dalam jangka panjang.
“Selain itu, pembiayaan yang ditawarkan melalui pembiayaan alternatif secara peer-to-peer (P2P) seperti yang ditawarkan oleh SME Corp. Malaysia turut berkesan dalam menyediakan pilihan akses pembiayaan alternatif kepada PMKS berbanding kemudahan pembiayaan konvensional.
“Inisiatif pembiayaan alternatif ini menawarkan kemudahan pembiayaan yang lebih pantas, fleksibel dan tanpa cagaran atau cagaran yang minimum melalui platform digital, khususnya kepada PMKS yang sukar atau tidak layak memperoleh pinjaman daripada institusi kewangan konvensional,” ujar beliau. – UMNO Online
