Ahmad Maslan Optimis Johor Kekal Milik BN, Mampu Tambah Kerusi
LEDANG, 6 Julai – Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Johor, Datuk Seri Ahmad Maslan optimis BN mampu mempertahankan kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini, malah berpotensi menambah jumlah kerusi yang dimenangi berbanding pilihan raya lalu.
Menurut beliau, keyakinan itu bukan dibuat tanpa asas, sebaliknya bersandarkan kepada empat faktor utama yang dilihat sepanjang beliau turun berkempen di seluruh negeri.

“Peluang BN untuk menang amat cerah kerana empat faktor. Pertama, jentera kita cukup mantap. Kedua, sambutan daripada pengundi sangat menggalakkan.
“Ketiga, pembangkang di tempat-tempat yang saya pergi kelihatan kurang bersungguh-sungguh kerana mereka sendiri kurang yakin. Keempat, pengundi atas pagar yang menerima Bantuan Kasih Johor turut menunjukkan kecenderungan untuk menyokong Barisan Nasional,” katanya dalam temu bual ringkas bersama UMNO Online di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Gambir di sini, malam tadi.
Seterusnya, Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pelaksanaan Bantuan Kasih Johor telah memberi impak positif kepada rakyat sehingga ramai pengundi, khususnya golongan atas pagar, menghargai keprihatinan kerajaan negeri pimpinan BN.
“Orang atas pagar yang sebelum ini sukar untuk kita ketahui pendirian mereka kini menunjukkan sikap yang lebih positif terhadap BN. Mereka merasakan bantuan yang diterima perlu dibalas dengan memberi sokongan kepada Barisan Nasional,” jelasnya.
Mengulas sasaran kerusi, Ahmad berkata beliau menjangkakan BN bukan sahaja mampu mengekalkan 40 kerusi yang dimenangi sebelum ini, malah berpotensi menambah beberapa lagi kerusi.
“Saya hanya meletakkan sasaran 40 tambah satu, dua, tiga, empat atau lima kerusi. Saya tidaklah terlalu ‘over confident’. Kita harap dengan pertambahan itu, ia merupakan satu kejayaan yang besar,” katanya.
Beliau turut menyeru seluruh jentera parti agar terus memperkukuh gerak kerja sehingga hari pengundian bagi memastikan momentum sokongan rakyat diterjemahkan kepada kemenangan yang lebih besar buat BN. – UMNO ONLINE
