Momentum Kempen Di Jementah, Buloh Kasap Terus Ditingkatkan – Norshida
SEGAMAT, 6 Julai – Jentera Wanita UMNO Johor terus memperkukuh gerak kerja kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) negeri dengan mendekati masyarakat secara bersemuka bagi menyampaikan mesej serta tawaran Barisan Nasional (BN) menjelang hari pengundian.
Naib Ketua Wanita UMNO Johor yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Segamat, Datuk Norshida Ibrahim berkata, memasuki hari kesembilan kempen, beliau bersama jentera Wanita memberi tumpuan kepada sesi santai menyantuni peniaga dan pengunjung dari kedai ke kedai di sekitar Jalan Muar bagi membantu kempen calon BN Dewan Undangan Negeri (DUN) Jementah, See An Giap.

Menurut beliau, pendekatan turun padang itu bukan sahaja membuka ruang untuk menyampaikan perkembangan semasa, malah memberi peluang mendengar sendiri pandangan serta harapan rakyat terhadap kepimpinan BN.
“Melalui pendekatan ini, kita dapat memperkukuh hubungan dengan masyarakat di samping menjelaskan komitmen BN dalam membela kebajikan rakyat dan membangunkan negeri,” katanya.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada para peniaga dan pengunjung yang memberikan sambutan baik sepanjang sesi tersebut.
“Terima kasih atas setiap senyuman, doa dan sokongan yang diberikan. Semoga segala usaha ini dipermudahkan serta diberkati,” ujarnya.
Dalam masa sama, Norshida berkata gerak kerja kempen Wanita UMNO tidak hanya tertumpu di DUN Jementah, malah beliau bersama barisan jentera yang lain turut melaksanakan pelbagai pendekatan kempen di DUN Buloh Kasap bagi membantu calon BN, Datuk Zahari Sarip.
Katanya, komitmen seluruh jentera akan terus dipertingkatkan sehingga hari terakhir kempen bagi memastikan mesej BN dapat disampaikan kepada seramai mungkin pengundi sekali gus mengukuhkan momentum kemenangan parti pada PRN Johor.- UMNO Online
