Fasa Kedua Kempen BN Perhebat Gerak Kerja Dekati Pengundi – Dr. Adham
TENGGARA, 6 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata jentera BN kini memasuki fasa kedua kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor dengan memperhebat gerak kerja mendekati rakyat melalui pelbagai pendekatan yang lebih tersusun dan berkesan.
Beliau berkata, sambutan yang diterima daripada rakyat setakat ini amat menggalakkan, khususnya dalam kalangan golongan muda yang dilihat semakin memahami pelbagai inisiatif serta peluang yang ditawarkan menerusi manifesto BN dan agenda Maju Johor 2030.
“Saya melihat fasa kedua kempen ini semakin bertenaga dan momentumnya cukup positif. Kita terus mengingatkan rakyat mengenai pelbagai inisiatif, insentif serta peluang yang disediakan kerajaan negeri, terutama kepada golongan muda.
“Alhamdulillah, kita melihat sambutan daripada semua lapisan masyarakat cukup positif dan mereka yakin Johor benar-benar serius dalam memberi perhatian kepada masa depan anak muda,” katanya kepada UMNO-Online.
Dr Adham seterusnya menambah manifesto BN yang dibentangkan kepada rakyat Johor merupakan kesinambungan kepada pelbagai aku janji yang telah berjaya dilaksanakan sepanjang penggal pentadbiran kerajaan negeri.
“Manifesto yang kita bentangkan sebelum ini, sebahagian besarnya telah berjaya dilaksanakan. Sebab itu manifesto kali ini lebih kepada kesinambungan agenda pembangunan untuk memastikan Johor terus maju dan rakyat terus menikmati manfaatnya,” katanya.
Menurut beliau, kejayaan kerajaan negeri menarik pelaburan melebihi RM110 bilion pada tahun 2025 membuktikan keyakinan pelabur terhadap kepimpinan Johor sekali gus menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negeri.
Katanya, pencapaian hasil negeri yang mencecah RM2.6 bilion serta pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sekitar lapan peratus merupakan antara pencapaian terbaik dalam sejarah Johor dan menjadi asas kukuh ke arah merealisasikan Johor Maju 2030.
Beliau berkata, JETP bukan sekadar pelan ekonomi, malah merangkumi pelbagai aspek kehidupan rakyat termasuk pembangunan sosial, peluang pekerjaan, pendidikan, kesihatan dan kesejahteraan masyarakat.
Dalam masa sama, beliau berkata komitmen kerajaan negeri dalam mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan kepada golongan muda menerusi pembangunan ekonomi Johor perlu diteruskan.
Menurut beliau, limpahan manfaat daripada pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) bukan sahaja tertumpu di selatan negeri, malah perlu diperluaskan ke kawasan tengah dan utara Johor supaya pembangunan dapat dinikmati secara lebih seimbang.
“Hasrat kita ialah memastikan pertumbuhan ekonomi Johor berkembang secara menyeluruh agar setiap daerah menerima manfaat daripada pelaburan, peluang pekerjaan dan pembangunan yang dirancang kerajaan negeri,” katanya. – UMNO Online
