Manifesto BN Bukan Sekadar Janji, Dirangka Berteraskan Keupayaan – Hasni
SIMPANG RENGGAM, 5 Julai – Ahli Parlimen Simpang Renggam yang juga bekas Menteri Besar Johor, Datuk Seri Ir. Hasni Mohammad berkata manifesto Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disusun berasaskan keupayaan sebenar kerajaan untuk melaksanakannya, bukannya sekadar menawarkan janji yang indah di atas kertas.
Menurut beliau, setiap tawaran yang dibawa BN telah melalui proses penelitian dan penilaian rapi serta mengambil kira kemampuan kerajaan bagi memastikan ia realistik dan mampu dilaksanakan demi kepentingan rakyat.
“Apa yang saya tengok daripada manifesto Barisan Nasional ini, ia memaklumkan tentang usaha-usaha yang telah dibuat oleh kerajaan, yang telah diluluskan oleh pihak kerajaan serta apa yang kita mahu lakukan pada masa hadapan.
“Ia telah ditapis dan disaring. Ini merupakan jaminan kerajaan bahawa apa yang kita susun adalah perkara yang benar-benar boleh kita laksanakan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada UMNO Online selepas berkempen di Dewan Undangan Negeri (DUN) Layang-Layang dan Machap.
Mengulas manifesto pihak lawan, Hasni berkata beliau percaya pengundi Johor sudah semakin matang dan tidak lagi mudah terpengaruh dengan janji-janji yang tidak mengambil kira realiti pentadbiran negeri.
Katanya, Johor mempunyai struktur pentadbiran yang tersusun sehingga ke peringkat akar umbi, termasuk institusi ketua kampung, penghulu, pentadbiran daerah serta pelbagai agensi yang perlu diambil kira sebelum sesuatu dasar atau perancangan dapat dilaksanakan.
“Kalau mereka tidak pernah berada di Johor dan tidak memahami struktur pentadbiran negeri, manifesto itu hanya akan nampak cantik di atas kertas. Johor tidak boleh membuat perancangan hanya berdasarkan apa yang elok di atas kertas semata-mata,” katanya.
Beliau berharap rakyat terus memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional untuk mentadbir Johor agar agenda pembangunan negeri dapat diteruskan dengan sokongan kerajaan Persekutuan demi kesejahteraan seluruh Bangsa Johor.- UMNO Online
