Johor Berkembang Pesat, Anak Muda Perlu Rebut Peluang TVET – Ahmad Zahid
ISKANDAR PUTERI, 5 Julai – Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan Johor kini berada di landasan pembangunan yang pesat, justeru anak-anak Bangsa Johor perlu melengkapkan diri dengan ilmu serta kemahiran bagi merebut peluang pekerjaan yang semakin banyak diwujudkan di negeri ini.
Beliau yang juga Pengerusi Barisan Nasional (BN) berkata, perkembangan ekonomi Johor yang semakin rancak membuka pelbagai peluang baharu, namun peluang tersebut perlu dimanfaatkan sebaik-baiknya oleh anak tempatan agar mereka menjadi tenaga kerja berkemahiran yang mampu memacu pembangunan negeri.

“Johor sedang berkembang pesat dan saya mahu peluang-peluang yang sedang diwujudkan ini dimanfaatkan sebaiknya oleh anak-anak Bangsa Johor sendiri,” katanya ketika berucap pada Program Jelajah TVET MARA Peringkat Negeri Johor 2026 di Educity Sports Complex, di sini.
Menurut beliau, kemajuan sesebuah negeri bukan hanya diukur melalui jumlah pelaburan atau pertumbuhan ekonomi, sebaliknya bergantung kepada sejauh mana anak-anak tempatan bersedia mengisi peluang yang tersedia.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sebagai antara laluan terbaik dalam melahirkan tenaga kerja berkemahiran tinggi yang mampu memenuhi keperluan industri serta menyokong agenda pembangunan Johor.
Ahmad Zahid turut menyeru anak-anak TVET Bangsa Johor supaya terus memperkukuhkan ilmu dan kemahiran agar mampu bersaing dalam pasaran pekerjaan yang semakin mencabar.
Beliau berharap lebih ramai anak muda Bangsa Johor memilih laluan TVET, membina kerjaya di negeri sendiri dan menjadi generasi yang menerajui kemajuan Johor pada masa hadapan.
Program Jelajah TVET MARA Peringkat Negeri Johor menghimpunkan ribuan pelajar dan warga institusi TVET dalam usaha memperkasakan pendidikan teknikal serta menyediakan modal insan berkemahiran selaras dengan keperluan pembangunan negeri dan negara. – UMNO Online
