‘Formula Lenggeng’ Senjata UMNO, Wanita Digesa Tawan Semula Sikamat Dan Ampangan
SEREMBAN, 5 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Malaysia, Datuk Hasmuni Hassan menggesa Wanita UMNO Bahagian Seremban harus menjadikan kemenangan Barisan Nasional (BN) di Dewan Undangan Negeri (DUN) Lenggeng pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan sebagai formula baharu untuk mengukuhkan kembali penguasaan parti di negeri itu.
Jelasnya, kemenangan BN di Lenggeng dengan majoriti 685 undi membuktikan strategi yang tepat, gerak kerja tersusun serta pengorbanan jentera mampu merampas semula kerusi yang pernah terlepas. Bagaimanapun, katanya, majoriti tersebut masih belum cukup besar untuk membolehkan jentera berasa selesa.
“‘The Lenggeng Formula’, iaitu pendekatan yang menekankan pengukuhan gerak kerja akar umbi, perluasan jaringan masyarakat serta pemantapan logistik pilihan raya sebagai asas memperbesarkan majoriti sehingga Lenggeng benar-benar menjadi kubu kuat BN.
“Momentum kemenangan itu tidak boleh terhenti di Lenggeng semata-mata, sebaliknya perlu diterjemahkan kepada misi lebih besar untuk menawan semula DUN Sikamat dan Ampangan yang disifatkan masih mempunyai potensi besar untuk kembali ke pangkuan UMNO dan BN.
“Wanita UMNO perlu menjadi jambatan yang menghubungkan semula parti dengan masyarakat, khususnya pengundi Melayu di kawasan tradisi melalui pendekatan yang lebih dekat, inklusif dan berterusan bagi memulihkan keyakinan rakyat terhadap perjuangan parti,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Seremban di Wisma UMNO Negeri Sembilan, hari ini.
Turut hadir Ketua UMNO Bahagian Seremban, Datuk Mazlan Maa’rop; Timbalan Ketua UMNO, Datuk Seri Md Yusop Harmain Shah; Naib Ketua, Datuk Mohd Asna Amin; Ketua Wanita UMNO, Datuk Latteffah Ali; Ketua Pemuda, Mohamad Fadil Md Zin; Ketua Puteri Norliyana Sa-Fain serta ahli-ahli wanita UMNO bahagian seremban.
Hasmuni yang juga Naib Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu menegaskan, landskap politik semasa menuntut perubahan strategi kerana hampir separuh pengundi di Parlimen Seremban terdiri daripada golongan berusia 18 hingga 40 tahun yang bakal menjadi penentu keputusan pilihan raya akan datang.
“Wanita UMNO perlu memperkukuhkan komunikasi digital, menawarkan program yang lebih segar serta memberi tumpuan kepada isu peluang ekonomi, kos sara hidup, kesejahteraan keluarga muda dan keusahawanan bagi menambat hati generasi baharu.
“Kekuatan UMNO Bahagian Seremban yang mempunyai 88 cawangan, 41 Pusat Daerah Mengundi (PDM), 509 lokaliti serta lebih 15,000 ahli perlu digerakkan sepenuhnya dengan Wanita UMNO menjadi enjin utama jentera akar umbi melalui program Jalinan Rakyat (JR).
“Setiap PDM perlu mempunyai pasukan Wanita yang aktif, responsif dan sentiasa memahami perubahan sentimen rakyat bagi memastikan sokongan pengundi Melayu serta pengundi atas pagar terus diperkukuhkan,” katanya lagi.
Mengulas lanjut, beliau mencadangkan agar Jalinan Rakyat ditransformasikan daripada sekadar rangkaian mengumpul maklumat pilihan raya kepada platform pemerkasaan ekonomi komuniti yang sentiasa membantu rakyat sepanjang masa.
“Wanita UMNO boleh memainkan peranan sebagai pemudah cara dalam pembangunan ekonomi mikro melalui bantuan pemasaran produk, latihan kemahiran digital, bimbingan keusahawanan, jaringan peluang perniagaan serta penyampaian maklumat berkaitan pelbagai inisiatif kerajaan.
“Apabila masyarakat melihat kehadiran Wanita UMNO sebagai pembawa penyelesaian kepada cabaran kehidupan harian, hubungan yang terjalin akan menjadi lebih kukuh dan berterusan. Kepercayaan rakyat tidak lagi dibina hanya ketika musim pilihan raya, sebaliknya lahir daripada khidmat yang konsisten sepanjang masa,” ujarnya.
Tegasnya, inilah pendekatan baharu yang mampu membuka ruang sokongan di kawasan-kawasan strategik seperti Sikamat dan Ampangan serta memperkukuhkan kedudukan UMNO di Parlimen Seremban. – UMNO Online
