Suara Rakyat Penawar Jadi Keutamaan – Fauziah Misri
PENAWAR, 4 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Penawar, Fauziah Misri berkata, sambutan dan sokongan yang diterimanya sepanjang tempoh berkempen amat memberangsangkan apabila semakin ramai pengundi mengenali beliau sebagai wakil rakyat yang sentiasa turun padang mendengar denyut nadi masyarakat.
Sebagai penyandang DUN Penawar, setiap kunjungan ke kampung, Felda dan kawasan perumahan dimanfaatkan sepenuhnya untuk mendengar sendiri pandangan, cadangan serta permasalahan yang dihadapi rakyat.
Jelasnya, masih terdapat beberapa isu yang memerlukan penjelasan selain perkara-perkara yang belum dapat diselesaikan, justeru beliau mengambil peluang sepanjang kempen untuk memberi penerangan secara bersemuka kepada pengundi.
“Apabila saya turun ke banyak tempat kali ini, ramai yang sudah mengenali saya. Namun masih ada beberapa isu yang memerlukan penjelasan dan ada juga perkara yang belum selesai yang dibangkitkan oleh rakyat.
“Saya mengambil peluang ini untuk mendapatkan maklum balas, cadangan dan pandangan daripada pengundi supaya segala perkara yang disuarakan dapat saya bawa serta perjuangkan sekiranya diberikan mandat sekali lagi.
“Setiap pandangan yang diterima menjadi panduan penting dalam merancang agenda pembangunan yang lebih menyeluruh demi memastikan kebajikan dan keperluan rakyat DUN Penawar terus diberi perhatian,” katanya kepada UMNO Online.
Beliau yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Pengerang turut merakamkan penghargaan kepada seluruh pengundi di DUN Penawar yang tidak pernah putus memberikan sokongan, dorongan dan doa sepanjang beliau berkhidmat sebagai wakil rakyat.
“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi di kawasan Penawar yang sentiasa mendokong, menyokong dan mendoakan saya.
“Doa yang diberikan bukan sahaja untuk kejayaan saya, malah demi kesejahteraan negeri Johor dan kelangsungan pentadbiran Kerajaan Negeri Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi,” katanya lagi.
Seterusnya kata Fauziah lagi, rekod pencapaian BN sepanjang menerajui pentadbiran kerajaan negeri menjadi bukti keupayaan gabungan itu dalam membawa pembangunan dan menjaga kebajikan rakyat.
“Kalau kita lihat sepanjang tempoh kerajaan negeri dipimpin oleh Datuk Onn Hafiz, banyak perubahan positif yang telah dilaksanakan. Pelbagai projek pembangunan, kerja-kerja baik pulih, bantuan kebajikan serta sumbangan kepada rakyat berjaya direalisasikan.
“Kesannya dapat dirasai oleh majoriti Bangsa Johor. Di DUN Penawar sendiri, rakyat menikmati pelbagai manfaat hasil dasar dan inisiatif kerajaan negeri yang sentiasa mengutamakan kesejahteraan mereka,” ujarnya.
Justeru, Fauziah berkata rakyat kini mahukan kesinambungan pentadbiran yang stabil supaya segala pembangunan, bantuan serta program kebajikan yang telah dirancang dapat diteruskan demi kesejahteraan masyarakat pada masa hadapan. – UMNO Online
