PH Janji Lagi … Apa Jadi Janji Lama Seperti Tol Simpang Renggam – Dr Akmal
PONTIAN, 4 Julai – Ketua Pemuda UMNO Malaysia yang juga Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN), Datuk Dr Akmal Saleh berkata rakyat Johor kini lebih matang dalam membuat penilaian terhadap manifesto yang ditawarkan, dengan melihat kepada kemampuan sesebuah parti melaksanakan janji dan bukannya sekadar menawarkan angka yang lebih besar.
Menurut beliau, rakyat tidak lagi mudah terpengaruh dengan tawaran yang hanya kelihatan menarik di atas kertas sebaliknya mahu melihat bukti serta rekod pencapaian.
“Saya sambut baik semua manifesto ataupun janji-janji yang diumumkan oleh Pakatan Harapan. Tetapi kalau kita tengok, ada janji yang hanya menaikkan angka. Barisan Nasional menawarkan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti, mereka pula naikkan kepada 250,000.
“Namun ini bukan soal nombor. Rakyat tidak mahu melihat angka semata-mata. Rakyat mahu melihat bukti dan sama ada janji itu benar-benar boleh dilaksanakan,” katanya kepada UMNO Online selepas program Sembang Santai bersama beliau dan calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan, di sini.
Beliau berkata, masih terdapat beberapa janji terdahulu yang dibuat oleh Pakatan Harapan belum ditunaikan termasuk berkaitan penghapusan tol.
“Contohnya isu tol Simpang Renggam yang masih lagi berbayar. Saya sebut dalam ceramah tadi, kalau Pakatan Harapan benar-benar mahu menang di Johor, umum sahaja penghapusan tol di seluruh negara seperti yang pernah dijanjikan sebelum ini.
“Saya percaya kalau itu dilaksanakan, sokongan kepada mereka akan meningkat. Tetapi selagi janji-janji lama masih belum ditunaikan, rakyat akan terus mempersoalkan manifesto baharu yang diumumkan. Jangan nanti keluar pula alasan bahawa manifesto bukan kitab suci,” ujarnya.
Mengulas mengenai serangan politik yang ditujukan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, Dr Akmal menyifatkan perkara itu sebagai lumrah memandangkan beliau merupakan tonggak utama kepimpinan Barisan Nasional di negeri ini.
“Sudah tentu Datuk Onn Hafiz menjadi sasaran serangan dari pelbagai pihak. Tetapi rakyat Johor bijak menilai.
“Mereka tahu siapa pemimpin yang benar-benar bekerja, siapa yang hanya pandai menabur janji dan siapa yang menunaikan apa yang diperlukan rakyat.
“Datuk Onn Hafiz bukan sekadar bercakap. Johor berjaya menarik pelaburan sebanyak RM110 bilion, iaitu yang tertinggi dalam negara, selain mencatatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak lapan peratus. Semua ini adalah bukti bahawa beliau merupakan seorang pemimpin yang bekerja dan membawa hasil kepada negeri serta rakyat Johor,” katanya.- UMNO Online
