Manifesto PH Johor Ciplak, Jangan Percaya Apa Mereka Janjikan – Dr Shamsul Anuar
BUKIT KEPONG, 4 Julai – Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata manifesto yang dibawa Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor membuktikan mereka ketandusan idea apabila sebahagian besar kandungannya hanya meniru pelbagai inisiatif yang telah diumumkan dan sedang dilaksanakan kerajaan negeri di bawah kepimpinan Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi.
Dr Shamsul yang juga Ahli Parlimen Lenggong berkata, keadaan tersebut secara tidak langsung memperlihatkan pengiktirafan PH terhadap kejayaan pentadbiran BN yang diterajui Onn Hafiz dalam merancang pembangunan negeri.

“Ini bermakna mereka tidak ada idea. Mereka mengakui apa yang dilaksanakan oleh Datuk Onn Hafiz bersama kepimpinan kerajaan negeri Barisan Nasional (BN) di Negeri Johor ini baik.
“Sebab itu, mengambil kira rekod dan janji mereka, maka janganlah sekali-kali kita percaya apa yang mereka janjikan, kerana banyak sudah yang mereka janjikan tak pun tertunai sampai hari ini. Seperti tol percuma, pendidikan percuma.
“Jadi, mahukah kita percaya dengan manifesto yang diumumkan oleh mereka? Nakkah kita yakin? Jangan yakin… Tapi yakin dan percayalah apa yang diumumkan oleh Yang Amat Berhormat Menteri Besar kita, Datuk Onn Hafiz, itulah janji yang benar, yang terbukti telah pun dilaksanakan banyak sebelum ini,” katanya ketika berucap di ceramah di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lenga di sini malam tadi.
Hadir sama Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid, Pengerusi Parlimen Pagoh Ismail Mohamed dan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong Cikgu Syar’e.

Seterusnya, beliau menegaskan rakyat perlu memberikan keyakinan kepada BN yang mempunyai rekod prestasi jelas dan terbukti dalam melaksanakan janji kepada rakyat.
“Ini berasaskan rekod, berasaskan data. Apabila saya kata bahawa pentadbiran Menteri Besar kita, Datuk Onn Hafiz, berjaya, memang terbukti benar, ia berasaskan rekod, ia berasaskan data. Bukan cakap kosong. Rakyat Johor sendiri merasainya.
“Menteri Besar kita ini dari kerajaan Barisan Nasional, bercakap soal ekonomi berskala besar. Bertaraf dunia nak menandingi Singapura, jiran kita. kita berkeupayaan untuk memajukan Negeri Johor biar setanding dengan Singapura,” katanya yang kagum dengan agenda transformasi ekonomi Negeri Johor yang bukan sahaja melibatkan Johor Bahru, bahkan hingga ke bahagian utara negeri, termasuk pembangunan projek strategik Maharani Energy Gateway Project di Muar.
Beliau berkata, segala perancangan tersebut mampu direalisasikan sekiranya rakyat memberikan mandat yang lebih besar kepada BN pada PRN kali ini.
“Saya percaya jika rakyat memberikan lebih daripada 40 kerusi kepada Barisan Nasional, segala perancangan yang telah disusun akan dapat direalisasikan demi kemajuan Johor,” ujarnya.
Dalam pada itu, Dr Shamsul Anuar turut mempertahankan keputusan Onn Hafiz mengadakan pilihan raya lebih awal dengan menegaskan tindakan tersebut selaras dengan lunas Perlembagaan dan tidak bercanggah dengan undang-undang.
Beliau berkata keputusan mengembalikan mandat kepada rakyat bukan bertujuan menyusahkan mana-mana pihak, sebaliknya bagi membolehkan rakyat menentukan semula kerajaan pilihan mereka supaya pentadbiran negeri dapat diteruskan dengan lebih kukuh dan stabil.
“Tiada isu sama ada pilihan raya diadakan awal atau lewat. Apa yang dilakukan Menteri Besar adalah mengikut tuntutan undang-undang dan memberi peluang kepada rakyat membuat keputusan untuk menentukan masa depan Johor,” katanya. – UMNO ONLINE
