Manifesto BN Lebih Realitistik, Terbukti Mampu Dilaksana – Mahdzir

BUKIT KEPONG, 4 Julai – Rakyat Johor diseru agar menilai manifesto yang ditawarkan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) secara rasional dan memberi kepercayaan kepada manifesto Barisan Nasional (BN) yang disifatkan berpaksikan kemampuan serta rekod pelaksanaan kerajaan negeri.

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Kedah Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata, manifesto BN yang diterajui Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi bukan sekadar himpunan janji politik, sebaliknya dirangka berdasarkan keupayaan kerajaan untuk menunaikannya demi kesejahteraan rakyat.

“Manifesto ini ada yang kata bukan kitab suci. Ada pula manifesto yang janjinya sampai tinggi ke langit.

“Sebab itu saya fikir yang terbaik ialah memberi kepercayaan kepada manifesto yang telah diatur oleh Yang Amat Berhormat Datuk Onn Hafiz selaku Menteri Besar Johor,” katanya kepada UMNO Online, selepas selesai program ceramah sempena PRN Johor di Pusat Daerah Mengundi (PDM) Lenga di sini malam tadi.

Hadir sama Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah, Pengerusi Parlimen Pagoh Ismail Mohamed dan calon BN bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Kepong.

Pada 26 Jun lalu, BN Johor melancarkan manifesto mengandungi 63 tekad berteraskan enam teras Maju Johor bagi meneruskan agenda pembangunan negeri dengan tema “Maju Johor, Kestabilan Dikekalkan, Kemajuan Diteruskan.”

Onn Hafiz yang juga Pengerusi BN Johor berkata manifesto itu disusun berdasarkan pengalaman mentadbir negeri selama empat tahun serta rekod pencapaian kerajaan negeri dalam memenuhi keperluan rakyat.

Antara fokus utama manifesto itu ialah memperkukuh Bantuan Kasih Johor (BKJ) secara bersasar, menyediakan skim bayaran deposit sewaan rumah untuk golongan muda dan meningkatkan akses pemilikan Rumah Subsidi Johor menerusi dana RM100 juta.

Selain itu, BN Johor turut beriltizam meneruskan bantuan rumah pertama, bantuan masuk rumah dan bantuan sewa rumah, di samping mewujudkan 200,000 peluang pekerjaan berkualiti untuk Anak Johor.

Manifesto itu juga menggariskan pengecualian bayaran lesen perniagaan tahun pertama kepada penjaja dan peniaga kecil, penambahan dana pembiayaan mikro tanpa faedah sebanyak RM100 juta serta usaha melonjakkan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) Johor dalam rantaian bekalan pelaburan strategik.

Dalam sektor pendidikan, BN Johor berjanji mengukuhkan Dana Pendidikan Orang Muda Johor dengan peruntukan RM100 juta, meneruskan Insentif Mahasiswa Anak Johor serta melaksanakan Program Semarak Isya’.

Semalam, setelah hampir seminggu berkempen, PH Johor mengumumkan manifesto mereka tetapi hampir keseluruhannya meniru manifesto BN.

Manakala dalam perkembangan yang berkaitan kempen PRN Johor ini, Mahdzir turut mengingatkan seluruh jentera BN agar tidak leka dan selesa walaupun jelas kelihatan sokongan pengundi kepada BN semakin meningkat.

Menurut Mahdzir, baki tempoh berkempen perlu dimanfaatkan sepenuhnya dengan memperhebat gerak kerja sehingga ke setiap PDM dan lokaliti yang telah ditetapkan.

“Kita telah mengharungi minggu pertama dan kini memasuki minggu kedua. Saya berharap jangan ada yang berasa selesa walaupun kita merasakan di tempat kita boleh menang.

“Berikan seluruh usaha dan tenaga di kawasan masing-masing. Bukan sahaja di PDM, tetapi sehingga ke setiap lokaliti yang telah ditugaskan. Bantulah calon masing-masing dan bekerja bersungguh-sungguh dalam tempoh tujuh hari terakhir ini,” katanya.

Beliau percaya disiplin, kesungguhan dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan jentera akan menjadi faktor penting untuk memastikan mesej BN sampai kepada setiap pengundi sekali gus menterjemahkan sokongan rakyat kepada kemenangan pada hari pengundian.

Mahdzir turut menzahirkan keyakinan bahawa gerak kerja yang konsisten di semua peringkat akan mengukuhkan lagi momentum BN bagi memperoleh mandat yang kukuh untuk meneruskan agenda pembangunan dan kebajikan rakyat Johor. – UMNO ONLINE

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO