Manifesto Berteraskan Rekod, Bukan Retorik Untuk Rakyat – Johari

JOHOR BAHRU, 4 Julai – Barisan Nasional (BN) tampil dengan manifesto yang berpaksikan rekod pencapaian serta kesinambungan dasar demi memastikan kemakmuran Johor terus diperkukuhkan, kata Naib Presiden UMNO, Johari Abdul Ghani.

Beliau berkata, dalam pilihan raya, perkara paling penting bukanlah mencari siapa yang paling lantang menyerang lawan, sebaliknya parti yang mampu meyakinkan rakyat bahawa mereka mempunyai keupayaan mentadbir negeri dengan baik.

Menurutnya, BN memilih untuk menawarkan penyelesaian dan hala tuju yang jelas kepada rakyat berbanding terlibat dalam pertelagahan politik yang tidak memberi manfaat.

“Di Johor, BN telah mentadbir negeri ini. Sebab itu kita perlu yakinkan rakyat melalui rekod pencapaian yang telah kita buktikan selama ini, bukannya dengan bergaduh atau menyerang pihak lain.

“Kita mahu membawa ideologi dan dasar yang memberi manfaat kepada rakyat. Apa yang penting ialah menjelaskan kepada rakyat apa yang telah kita lakukan dan apa yang akan kita teruskan pada masa hadapan,” katanya.

Mengulas manifesto BN, Johari berkata segala inisiatif yang terbukti memberi manfaat kepada rakyat akan diteruskan, di samping memperkenalkan dasar baharu yang mampu memperkukuh ekonomi negeri dan meningkatkan kesejahteraan rakyat.

Katanya yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, kepimpinan yang diberi mandat selepas pilihan raya akan memastikan agenda pemulihan ekonomi, pembangunan negeri serta kebajikan rakyat terus menjadi keutamaan.

“Manifesto BN bukan sekadar janji, tetapi komitmen untuk meneruskan segala usaha yang telah dirancang dan dilaksanakan. Perkara baharu juga akan diperkenalkan mengikut keperluan semasa demi memastikan manfaatnya dirasai seluruh rakyat Johor,” katanya.

Beliau turut mengingatkan semua pihak supaya berhati-hati dalam membuat janji kepada rakyat kerana setiap manifesto akan dinilai dan diperhatikan oleh masyarakat.

Menurutnya, rakyat hari ini lebih berminat mendengar penyelesaian terhadap isu yang mereka hadapi berbanding polemik politik, justeru parti yang menawarkan pelan tindakan realistik dan mampu dilaksanakan akan mendapat keyakinan pengundi.

“Rakyat sudah letih dengan politik yang hanya menimbulkan pertelingkahan. Mereka mahu tahu apa yang kita hendak lakukan untuk membantu kehidupan mereka. Itu yang perlu kita jelaskan kepada rakyat,” katanya.

Terdahulu beliau telah mengadakan perjumpaan bersama Jentera DUN Larkin di Pusat Operasi, di sini yang turut disertai calon DUN terbabit, Hairi Mad Shah dan juga Ketua UMNO Bahagian Johor Bahru, Datuk Yahya Jaafar. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO