PRN Johor Wajar Jadi Titik Permulaan ‘Kolaborasi Agung’ Demi Penyatuan
JOHOR BAHRU, 3 Julai – Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor disifatkan sebagai medan terbaik untuk memulakan gagasan “Kolaborasi Agung” yang dicetuskan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam usaha memperkukuh penyatuan orang Melayu.
Ketua UMNO Bahagian Batu, Gulam Muszaffar berkata, gagasan tersebut perlu difahami sebagai hasrat menyatukan kekuatan politik Melayu demi menjaga kepentingan agama, bangsa dan negara.
Menurut beliau, semangat “Kolaborasi Agung” bukanlah sesuatu yang baharu, sebaliknya mempunyai persamaan dengan semangat yang melahirkan UMNO di Istana Besar Johor pada tahun 1946, walaupun landskap politik negara ketika ini jauh berbeza.

“Apabila disebut ‘Kolaborasi Agung’, ia mesti terarah kepada hasrat dan aspirasi majoriti umat Melayu di negara ini. Niat dan objektifnya tetap sama, iaitu menyatukan orang Melayu,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, idea yang dicetuskan oleh Ahmad Zahid itu, kemudiannya menerima reaksi positif daripada Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang, selain kenyataan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang turut menyentuh kepentingan penyatuan Melayu.
Menurut Gulam, perkembangan tersebut memberi gambaran bahawa terdapat ruang untuk merealisasikan agenda penyatuan Melayu dan Islam sekiranya semua pihak benar-benar ikhlas mengenepikan perbezaan politik.
Beliau berpandangan PRN Johor boleh dijadikan titik permulaan kepada usaha tersebut sekiranya semua pihak meletakkan kepentingan bangsa mengatasi perbezaan politik.
“Kesatuan Melayu yang kukuh bukan ancaman kepada masyarakat bukan Melayu. Sebaliknya, ia mampu menjadi benteng kepada perpaduan nasional dan keharmonian masyarakat majmuk selagi berpaksikan Perlembagaan Persekutuan serta menghormati hak semua kaum,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa perjuangan politik merupakan pilihan setiap individu, namun dilahirkan sebagai orang Melayu bukanlah suatu pilihan.
“Slogan ‘Takkan Melayu Hilang di Dunia’ bukan sekadar ungkapan, tetapi peringatan bahawa perpaduan orang Melayu perlu terus diperkasakan bagi menjamin masa depan bangsa dan negara,” katanya. – UMNO Online
