Pengundi Johor Mahu Teruskan Kestabilan Politik, Kekalkan BN

JOHOR BAHRU, 3 Julai – Kestabilan politik serta bantuan yang diterima rakyat menjadi antara faktor yang mempengaruhi keyakinan sebahagian pengundi terhadap kepimpinan negeri menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Seorang pengundi di Sekolah Kebangsaan (SK) Taman Dahlia, Roslan Abu Bakar, 60, berkata kestabilan politik di Johor telah berjaya mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk menarik pelaburan, sekali gus memberi manfaat kepada pembangunan negeri.

Beliau menyifatkan calon BN bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Permas, Datuk Ramlee Bohani, sebagai seorang pemimpin yang dekat dengan rakyat dan sentiasa melibatkan diri dalam pelbagai program kemasyarakatan.
Katanya, Ramlee bukan sahaja mesra dengan penduduk setempat, malah kerap turun padang menyantuni masyarakat termasuk melalui program Semarak Subuh.

Dalam pada itu, beliau berharap masyarakat Melayu dapat mengetepikan perbezaan politik demi memastikan kestabilan pentadbiran terus dikekalkan.

“Kita orang Melayu ini sepatutnya tidak perlu berpecah. Kalau boleh, biarlah kita kembali kepada asal. Ada yang kata siapa naik pun sama, memang pemimpin datang dan pergi, tetapi dasar yang sedia ada belum tentu dapat dilaksanakan jika kerajaan bertukar. Jadi, kekalkan sahaja yang ada,” katanya.

Sementara itu, bagi seorang peniaga kecil, Ismeth Daniesh, 22, bantuan yang diterima keluarganya daripada kerajaan menjadi antara faktor utama yang membentuk pandangannya terhadap kepimpinan negeri ketika ini.

Menurut beliau, keluarganya sebelum ini berdepan kesukaran mendapatkan bantuan, khususnya bagi golongan ibu tunggal dan warga emas.

“Saya rasa kerajaan hari ini tak perlu ditukar. Sejujurnya, saya membesar dengan dua sosok iaitu mak dan nenek. Dulu bantuan untuk keluarga seperti kami memang tak banyak, terutama untuk ibu tunggal dan warga emas.

“Tetapi sekarang, alhamdulillah, bantuan untuk warga emas membantu menjaga kesihatan mereka, manakala ibu tunggal juga menerima bantuan. Saya sangat bersyukur. Saya cakap ini dengan jujur, bukan sebab berat sebelah, tetapi kerana saya sendiri melihat perubahan itu,” katanya ketika ditemui di Pasar Malam Taman Dahlia.

Beliau turut mengakui suatu ketika dahulu tidak begitu berminat dengan politik kerana merasakan politik tidak memberi kesan kepada kehidupannya.

Bagaimanapun, pengalaman keluarganya berdepan kesukaran hidup serta bantuan yang diterima daripada kerajaan mengubah persepsi tersebut.

“Sejujurnya, dulu saya memang tak begitu ambil tahu tentang politik. Tetapi apabila keluarga saya berdepan kesusahan dan kemudian menerima bantuan daripada kerajaan sekarang, saya benar-benar bersyukur. Pengalaman itu mengubah pandangan saya,” katanya lagi.

Bagi PRN kali ini, calon BN, Ramlee berdepan pertandingan tiga penjuru untuk mempertahankan kerusi DUN Kempas yang dimenanginya pada pilihan raya lalu. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO