Najib Terima Suntikan Semangat Di Parit Yaani

Sri Gading, 3 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) DUN Parit Yaani, Datuk Najib Samuri menerima suntikan semangat daripada bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin yang turun berkempen bersama anak-anak muda sempena Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Kehadiran Khairy yang sedang mengadakan siri jelajah kempen di Johor menyaksikan DUN Parit Yaani dipilih sebagai destinasi kedua, sekali gus menyemarakkan lagi semangat jentera BN dalam menghadapi hari-hari terakhir kempen sebelum hari pengundian pada Sabtu ini.

Program santai bersama golongan belia dan jentera parti itu disifatkan berjaya meningkatkan keyakinan serta momentum kempen BN di Parit Yaani bagi memastikan sokongan rakyat terus memihak kepada parti.

Menurut Najib, kunjungan Khairy memberikan suntikan motivasi kepada seluruh jentera untuk terus bekerja keras mendekati pengundi, khususnya generasi muda.

“Dengan besar hati kami menerima kunjungan Khairy Jamaluddin yang sedang dalam siri jelajahnya di Johor. DUN Parit Yaani menjadi destinasi keduanya.

“Kita menghimpunkan anak-anak muda serta jentera Barisan Nasional bagi menyuntik semangat dan keyakinan bahawa Barisan Nasional adalah pilihan yang tepat sekali lagi untuk memimpin Johor ke arah masa depan yang lebih baik dan sejahtera,” katanya.

Turut serta Ketua UMNO bahagian yang juga Pengerusi BN Sri Gading, Datuk Lassim Burhan serta pimpinan BN bahagian yang lain.

Najib turut menyeru seluruh pengundi Parit Yaani agar terus memberikan kepercayaan kepada BN pada hari pengundian nanti.

“Bulatkan tekad dan yakinkan diri. Kita undi BN…undi calon nombor satu bagi N.21 Parit Yaani,” katanya.- UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO