KJ, Sumali Sepentas Di Benut Yakinkan Pengundi
PONTIAN, 3 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Benut, Datuk Mohd Sumali Reduan, malam tadi menerima suntikan semangat apabila sepentas bersama bekas Ketua Pemuda UMNO, Khairy Jamaluddin, dalam program Ramah Mesra Bersama KJ sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.
Mohd Sumali yang pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Kerja Pergerakan Pemuda UMNO ketika Khairy menerajui sayap parti itu, meluahkan rasa terharu atas sokongan yang diterimanya daripada pelbagai pihak termasuk bekas pemimpinnya itu.
“Menjelang baki beberapa hari lagi tempoh berkempen, saya merayu kepada seluruh pengundi dan masyarakat di Benut agar memberikan kepercayaan kepada Barisan Nasional pada hari pengundian nanti.
“Ini bukan soal individu, tetapi soal saya membawa amanah dan mewakili Barisan Nasional,” katanya ketika berucap pada program berkenaan.
Program yang berlangsung di Command Centre BN DUN Benut itu mendapat sambutan menggalakkan apabila dihadiri anak-anak muda serta penduduk setempat yang memenuhi ruang program.
Sementara itu, Khairy berkata serangan bertubi-tubi yang ditujukan kepada Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi sepanjang tempoh kempen membuktikan BN kini dilihat sebagai ancaman utama oleh pihak lawan.
Menurut beliau, tindakan menyerang Menteri Besar secara berterusan menunjukkan pihak lawan semakin bimbang terhadap kekuatan serta peluang kemenangan BN pada pilihan raya kali ini.
“Saya tengok sejak dua minggu lepas, setiap hari ada serangan bertubi-tubi terhadap Menteri Besar. Ada yang mengaitkannya dengan istana, ada pula yang kata Menteri Besar berbohong mengenai isu FELDA dan sebagainya.
“Saya beritahu Menteri Besar, dalam politik dan pilihan raya, apabila musuh menyerang kita tanpa henti, itu bermaksud mereka takut dengan kekuatan kita. Mereka nampak kita ada kekuatan untuk menang dalam pilihan raya akan datang,” katanya.
Beliau berkata jentera dan penyokong BN tidak seharusnya terganggu dengan serangan sedemikian, sebaliknya perlu terus memberi tumpuan kepada usaha mendekati rakyat serta menjelaskan rekod pencapaian kerajaan negeri.
Katanya, kempen yang bersandarkan fitnah dan serangan peribadi tidak akan mengubah hakikat bahawa rakyat mampu menilai prestasi kerajaan berdasarkan hasil serta pembangunan yang telah dibawa demi kesejahteraan negeri dan rakyat Johor. – UMNO Online
