KDNK Johor Melonjak, PH Pula Sibuk Nak Mengajar – Mohd Zaidi
JOHOR BAHRU, 3 Julai – Ketua Penerangan UMNO Negeri Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain menegaskan bahawa prestasi ekonomi Johor yang terus mencatat pertumbuhan memberangsangkan membuktikan negeri itu berada di landasan tepat, sekali gus mempersoalkan tindakan Pakatan Harapan (PH) yang menurutnya masih cuba “mengajar” rakyat Johor mengenai pentadbiran negeri.
Beliau berkata, berdasarkan data rasmi Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), Johor merekodkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 8.0 peratus pada tahun 2025, meningkat daripada 6.5 peratus pada 2024 dan 4.1 peratus pada 2023.

Menurutnya, pencapaian itu bukan sahaja menunjukkan momentum ekonomi Johor semakin kukuh, malah menjadikan negeri itu mencatat pertumbuhan ekonomi terpantas di Malaysia bagi dua tahun berturut-turut.
“Ini bukan angka kecil. Johor bukan sekadar bergerak, tetapi sedang memecut dengan prestasi ekonomi yang semakin kukuh dari tahun ke tahun.
“Ketika beberapa negeri lain menunjukkan pertumbuhan yang perlahan atau merosot semula, Johor terus mengatasi purata pertumbuhan ekonomi negara hasil dasar yang konsisten dan kestabilan pentadbiran,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut membandingkan prestasi Johor dengan beberapa negeri lain yang sering dijadikan rujukan oleh PH, termasuk Selangor yang mencatat pertumbuhan 6.3 peratus pada 2025 berbanding 6.4 peratus pada 2024, manakala Negeri Sembilan merekodkan penurunan kepada 2.6 peratus selepas mencapai 4.6 peratus pada tahun sebelumnya.
Sehubungan itu, beliau mempersoalkan kewajaran PH terus mengkritik pentadbiran Johor sedangkan negeri berkenaan sedang menunjukkan prestasi ekonomi yang lebih baik berbanding kebanyakan negeri lain.
“Apa sebenarnya yang PH mahu ajar Johor? Johor sedang mencatat pertumbuhan paling pantas, menarik keyakinan pelabur dan membina momentum ekonomi yang jelas.
“Rakyat Johor tidak memerlukan ceramah politik daripada pihak yang negeri sendiri mula menunjukkan tanda-tanda pertumbuhan perlahan. Apa yang diperlukan ialah kestabilan, kesinambungan dasar dan kerajaan yang terbukti mampu membawa hasil,” katanya.
Mengulas mengenai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor 2026, beliau berkata rakyat perlu terus memberi mandat kepada Barisan Nasional (BN) bagi memastikan momentum pembangunan dan pertumbuhan ekonomi negeri dapat diteruskan.
“PRN Johor 2026 bukan medan untuk bereksperimen. Pilihan yang akan dibuat rakyat bakal menentukan sama ada Johor terus maju atau kehilangan momentum pembangunan yang sedang dinikmati hari ini,” katanya. – UMNO Online
