Jalaluddin Santuni Orang Asli, Jentera PDM… Perkemas Gerak Kerja

KUALA LUMPUR, 3 Julai – Pengerusi UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias meneruskan pelbagai program kemasyarakatan sebagai sebahagian usaha memperkukuh gerak kerja akar umbi menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN).

Terbaharu beliau yang juga Ketua UMNO Bahagian Jelebu, berbesar hati bertemu Orang Asli bersempena penganjuran Program Sukaneka Komuniti.

“Alhamdulillah, meriah dan penuh dengan gelak tawa! Saya amat gembira dapat hadir dan meluangkan masa bersama warga Kampung Orang Asli (OA) Rangoi sempena Program Sukaneka Komuniti yang cukup santai dan ceria.

“Syabas dan tahniah saya ucapkan kepada jentera Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Puteri UMNO Bahagian Jelebu atas inisiatif murni menganjurkan program kemasyarakatan sebegini,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.

Sementara itu, menerusi perkongsian berbeza beliau turut berkesempatan meluangkan masa bersama barisan kepimpinan dan jentera di peringkat Pusat Daerah Mengundi (PDM) Kampung Chennah sebelum ke PDM Kampung Lakai.

Beliau berkata pertemuan tersebut dimanfaatkan bagi memperkukuh semangat persaudaraan serta kebersamaan dalam kalangan ahli parti menjelang gerak kerja yang lebih mencabar.

“Kekuatan kita di Jelebu terbina atas dasar ukhuwah yang erat dan keikhlasan barisan hadapan kita di peringkat PDM seperti di Kampung Chennah ini.

“Gandingan bahu kita semua adalah kunci utama untuk memastikan khidmat bakti dapat disampaikan terus ke setiap pintu rumah rakyat.

“Setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada seluruh jentera Wanita, Pemuda, Puteri, serta para petugas PDM Kampung Lakai atas pengorbanan, kerja keras, dan muafakat yang tiada tolok tandingnya.

“Bersama kita pelihara kubu perjuangan ini,” ujar beliau. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO