Dr Zambry Dekati Kehidupan Mahasiswa Menerusi Program Semarak Kampus
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berbesar hati menyertai Program Semarak Kampus di Universiti Teknologi Malaysia (UTM), bagi mendekati kehidupan warga kampus secara lebih dekat melalui pengalaman bermalam di kolej kediaman.
Beliau yang juga Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO berkata sesi santai tersebut dimanfaat untuk perbincangan melibatkan pelbagai isu termasuk pengalaman kehidupan di kampus serta aspirasi anak muda berkenaan pendidikan tinggi negara.
“Alhamdulillah, saya selamat tiba di UTM lewat petang semalam untuk Program Semarak Kampus yang memberi ruang kepada saya merasai sendiri kehidupan sebagai sebahagian daripada komuniti kampus dengan menginap di kolej kediaman bersama para pelajar.
“Sebelum ini kita telah berada di beberapa universiti seperti di UniMAS Sarawak dan Universiti Malaysia Terengganu (UMT). Malam tadi, saya meluangkan masa dalam sesi sembang santai bersama para pelajar, ahli akademik dan warga UTM.
“Dalam suasana yang santai, kami berbincang tentang pelbagai perkara, daripada pengalaman kehidupan di kampus, cabaran semasa, aspirasi anak muda sehinggalah idea-idea untuk terus memperkukuh ekosistem pendidikan tinggi negara,” katanya menerusi satu perkongsian di Facebook.
Dalam masa sama, Dr Zambry memaklumkan beliau turut menunaikan solat Subuh berjemaah bersama warga UTM sebelum meneruskan program dengan sesi telaah dan bedah buku.
“Pengalaman bermalam di kampus seperti ini sentiasa memberikan perspektif yang lebih dekat tentang kehidupan mahasiswa.
“Mendengar sendiri pandangan mereka, memahami cabaran yang dihadapi serta melihat semangat mereka untuk menimba ilmu.
“Semoga Program Semarak Kampus terus menjadi jambatan yang merapatkan hubungan antara kepimpinan, ahli akademik dan mahasiswa demi membina ekosistem pendidikan tinggi yang lebih cemerlang, inklusif dan berdaya saing,” ujar beliau. – UMNO Online
