BN Tidak Pernah Over Confident, Terus Bekerja Keras Raih Mandat Rakyat – Ahmad Zahid

PULAI, 3 Julai – Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menegaskan BN tidak pernah bersikap terlalu yakin dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sebaliknya terus memperkukuh gerak kerja dan memberi tumpuan kepada isu yang dekat di hati rakyat.

Menurut beliau, perubahan landskap politik negeri itu menuntut seluruh jentera BN dan UMNO bekerja lebih keras bagi meraih sokongan rakyat, khususnya golongan muda yang kini menjadi kelompok pengundi penentu.

“Seperti mana kata Datuk Onn Hafiz Ghazi, kita juga adalah underdog dan kita tidak pernah over confident. Asas kita adalah 40 kerusi yang pernah kita menangi. Jadi untuk kita memperoleh lebih daripada itu, UMNO harus bekerja kuat kerana landskap politik di Johor telah berubah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika kepada media selepas Majlis Ramah Mesra di Dewan Raya Taman Cempaka, Kempas, di sini.

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri merangkap Presiden UMNO berkata, lebih 30 peratus pengundi di Johor terdiri daripada golongan muda, justeru segala tawaran dan dasar yang dibawa BN memberi penekanan kepada keperluan generasi tersebut, termasuk peluang pekerjaan, latihan kemahiran dan pendidikan TVET.

Katanya, manifesto yang dibawa Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi, turut mencerminkan komitmen kerajaan negeri dalam menyediakan lebih banyak peluang kepada anak muda melalui pembangunan ekonomi serta latihan teknikal dan vokasional.

“Anak-anak muda memerlukan pekerjaan yang menawarkan gaji premium dan kemahiran. Sebab itu peluang melalui TVET sangat ditekankan dalam manifesto. Tawaran kepada golongan muda sangat jelas dan saya berharap mereka akan memberikan sokongan kepada BN,” katanya.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut mengingatkan semua pihak supaya berkempen secara matang dengan mengetengahkan kekuatan calon masing-masing dan tidak memainkan isu-isu lama yang boleh menjejaskan hubungan dalam Kerajaan Perpaduan.

Menurutnya, walaupun terdapat persaingan politik di Johor, semua parti yang bersama Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan wajar mengelakkan serangan yang tidak berkaitan dengan kepentingan rakyat negeri itu.

“Promosikan kelebihan calon masing-masing. Tidak perlu membangkitkan isu-isu lama yang tiada kaitan dengan Johor. Kita bertemu setiap minggu dalam Mesyuarat Jemaah Menteri dan saya berharap perkara seperti ini dihentikan,” katanya.

Beliau turut menjelaskan bahawa kerajaan BN di Johor telah terbentuk lebih awal sebelum penubuhan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, justeru tidak timbul sebarang pertentangan.

“Apa yang kita mahukan ialah mandat diberikan semula kepada kerajaan BN supaya kesinambungan pembangunan dan kestabilan yang telah dirancang untuk Johor dapat diteruskan,” katanya.

Terdahulu dalam ucapannya, Ahmad Zahid menegaskan tidak wujud sebarang pertentangan antara pendiriannya di peringkat nasional dan negeri, sebaliknya rakyat perlu memahami bahawa kerajaan BN di Johor telah terbentuk lebih awal sebelum tertubuhnya Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.

Ujarnya, di peringkat nasional UMNO dan BN merupakan sebahagian daripada Kerajaan Perpaduan dan akan terus memberikan sokongan kepada kerajaan pusat. Namun di Johor, BN bertanding untuk mendapatkan semula mandat rakyat bagi meneruskan pentadbiran kerajaan negeri yang diterajui BN.

“Jangan kelirukan pengundi dan rakyat. Jika BN menang di Johor, kita akan terus menyokong kerajaan pusat. Tiada sebarang pertentangan. Yang kita mahukan ialah mandat rakyat untuk meneruskan kerajaan BN di Johor,” katanya lagi.

Turut hadir dalam program tersebut ialah Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Seri Nur Jazlan Mohamed bersama calon BN DUN Perling, P. Pannir Selvam dan calon BN DUN Kempas, Datuk Ramlee Bohani serta masyarakat setempat.– UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO