Aduan Rakyat Disusuli Tindakan, Mohd Azmawi Perjuang Penyelesaian Jangka Panjang Banjir Kilat RPT Limau Kasturi
KUALA LUMPUR, 3 Julai – Aduan penduduk berhubung kejadian banjir kilat di Rancangan Pemulihan Tanah (RPT) Limau Kasturi mendapat perhatian segera Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Nenggiri, Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani.
Menerusi hantaran di laman Facebooknya, beliau telah turun padang meninjau lokasi bagi mengenal pasti punca sebenar dan memperjuangkan penyelesaian jangka panjang demi kesejahteraan penduduk.

“Petang Rabu lalu saya menerima aduan mengenai banjir kilat di RPT Limau Kasturi.
Semalam, saya turun meninjau lokasi dan mendapati antara punca utama ialah saiz culvert yang kecil serta sistem saliran yang perlu ditambah baik.
“Buat masa sekarang, kerja-kerja menaik taraf longkang, culvert dan pembersihan sungai telah dilaksanakan oleh pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) KESEDAR.
“ Namun, ia masih memerlukan kerja fasa kedua bagi memastikan penyelesaian yang lebih menyeluruh,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau turut mencadangkan aktiviti gotong-royong untuk melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir.

“Insya-Allah, saya akan terus mengangkat permohonan ini kepada pihak berkaitan demi penyelesaian jangka panjang.
“Sementara itu, saya turut mencadangkan gotong-royong membersihkan longkang bagi melancarkan aliran air dan mengurangkan risiko banjir,” katanya lagi. – UMNO Online
