Dr Zambry Gesa Jentera BN Kekal Momentum, Jayakan GOTV
TANJUNG PIAI, 2 Julai – Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir menggesa seluruh jentera parti agar terus mengekalkan momentum gerak kerja kempen sehingga hari pengundian, dengan memberi tumpuan khusus kepada usaha ‘Get Out The Vote’ (GOTV) bagi memastikan penyokong keluar mengundi.
Menurut beliau, kerjasama erat yang dipamerkan oleh seluruh jentera di peringkat cawangan, termasuk di DUN Kukup, amat membanggakan dan mencerminkan semangat kebersamaan dalam membantu kemenangan calon BN.
“Saya dapati begitu kemas sekali pergerakan yang diadakan bersama di peringkat cawangan seperti yang kita dapat saksikan di Kukup ini, bagaimana semua peringkat dapat bekerjasama untuk membantu calon kita dan demikian juga di kawasan-kawasan lain,” katanya.
Beliau berharap semangat serta momentum yang ditunjukkan sepanjang tempoh berkempen dapat diteruskan sehingga ke garisan penamat kerana kejayaan sebenar bergantung kepada keupayaan jentera menggerakkan pengundi pada hari pengundian.
“GOTV sangat penting. Itulah amalan dan kekuatan kita. Kalau segala persiapan dibuat dengan baik dari awal tetapi pada hari mengundi kita gagal mengeluarkan pengundi, maka segala usaha itu akan menjadi sia-sia,” katanya ketika berkempen di Kukup, hari ini.
Dr Zambry seterusnya mengharapkan segala perancangan program dan strategi yang telah disusun di setiap peringkat dapat dilaksanakan dengan sempurna bagi memastikan seramai mungkin penyokong BN hadir menunaikan tanggungjawab mereka.
Dalam pada itu, Dr Zambry turut menyatakan keyakinan terhadap calon BN bagi DUN Kukup, Israk Abdullah, yang disifatkan mempunyai latar belakang pendidikan yang baik serta berkeupayaan membawa perubahan kepada kawasan tersebut.
Katanya, perkara paling utama bukanlah keistimewaan seseorang calon, sebaliknya kesediaan memikul amanah sebagai wakil rakyat dan berkhidmat kepada masyarakat.
“Itulah tradisi BN dan UMNO. Sesiapa yang dipilih menjadi wakil rakyat bukan menerima satu keistimewaan, tetapi satu amanah besar untuk dilaksanakan demi rakyat,” katanya.
Beliau turut menzahirkan keyakinan bahawa dengan semangat perjuangan dan kesatuan seluruh jentera, UMNO dan BN mampu terus memperkukuhkan sokongan rakyat serta meneruskan perjuangan demi kesejahteraan masyarakat dan negara. – UMNO Online
