Tolak Fitnah Dan Tomahan Politik, Utamakan Agenda Pembangunan – Dr Adham

JOHOR BAHRU, 2 Julai – Calon Barisan Nasional (BN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pasir Raja, Datuk Seri Dr Adham Baba berpandangan bahawa rakyat Johor semakin matang dalam membuat penilaian dan tidak lagi mudah terpengaruh dengan fitnah serta tomahan yang dijadikan modal politik sepanjang kempen pilihan raya.

Menurut beliau, pengundi hari ini lebih cenderung untuk menilai tawaran, dasar serta agenda pembangunan yang mampu membawa manfaat kepada mereka berbanding serangan bersifat peribadi terhadap mana-mana pihak.

“Pengundi hari ini mahu bersama-sama terlibat dalam menentukan hala tuju pembangunan. Jika kita membawa agenda yang baik dan dapat diterangkan dengan jelas kepada mereka, itulah yang akan membawa kemenangan.

“Bukan dengan menyerang peribadi atau membesar-besarkan kelemahan kecil. Pengundi akan melihat perkara itu sebagai fitnah dan tomahan. Sekali-sekali mereka tidak akan menerima pendekatan sedemikian,” katanya.

Beliau yang juga mantan menteri kesihatan berkata demikian dalam wawancara dengan UMNO Online sempena kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Dr Adham turut menyeru semua pengundi supaya keluar menunaikan tanggungjawab pada hari pengundian kerana setiap undi bakal menentukan hala tuju Johor untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menurut beliau, corak kempen juga perlu disesuaikan mengikut keperluan kawasan sama ada di bandar, luar bandar atau separa bandar supaya mesej yang disampaikan benar-benar memenuhi aspirasi rakyat setempat.

“Yang penting ialah memahami keperluan rakyat di setiap kawasan. Jangan terpengaruh dengan pelbagai dakwaan yang tidak tepat atau sengaja digembar-gemburkan untuk menggagalkan sokongan kepada calon yang benar-benar dekat dengan rakyat.

“Rakyat sendiri yang akan menentukan masa depan mereka. Sebab itu kita mahu melakukan yang terbaik dan menyerahkan keputusan kepada pengundi,” katanya.

Mengulas sasaran BN pada PRN Johor, beliau berkata kemenangan dengan majoriti kukuh amat penting bagi memastikan kerajaan negeri dapat mentadbir dengan lebih stabil dan melaksanakan agenda pembangunan secara berkesan.

“Kita bukan sahaja mahu mengekalkan kerajaan sedia ada dengan majoriti dua pertiga, malah yakin dan berharap rakyat memberi mandat yang lebih besar kepada BN demi menjayakan agenda Bangsa Johor Maju 2030,” ujar beliau lagi. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO