Titah Sultan Selangor Bukti Politik Matang Perlu Utamakan Rakyat – Hasnal Rezua

SELAYANG, 2 Julai – UMNO Selayang menjunjung kasih titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang disampaikan sempena perasmian Laluan LRT3 Shah Alam, sambil menyifatkannya sebagai pedoman penting dalam membina negara berasaskan kesinambungan dasar dan kepentingan rakyat.

Ketuanya, Datuk Hasnal Rezua Merican berkata, titah baginda menegaskan bahawa kejayaan sesebuah negara lahir daripada kesinambungan karya, ilham dan dasar kepimpinan kerajaan yang diteruskan tanpa mengira pertukaran pentadbiran, selain keikhlasan meletakkan kepentingan rakyat mengatasi segala-galanya.

Beliau berkata, penghargaan Sultan Selangor kepada Datuk Seri Najib Tun Razak yang memulakan projek LRT3 serta Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang meneruskan projek itu dan mengembalikan lima stesen yang sebelum ini dibatalkan, membawa mesej jelas bahawa jasa perlu dihargai dan tanggungjawab kepada rakyat mesti diteruskan.

“Pentadbiran kerajaan mungkin bertukar, namun tanggungjawab terhadap rakyat mesti diteruskan. Projek yang memberi manfaat kepada rakyat tidak seharusnya menjadi mangsa persaingan politik atau perebutan pengiktirafan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Hasnal, projek LRT3 membuktikan bahawa kesinambungan perancangan dan dasar yang konsisten mampu memberikan manfaat besar kepada rakyat serta menjadi asas kepada pembangunan negara yang mampan.

Beliau turut menjunjung kasih atas titah Sultan Selangor yang mengingatkan agar tiada mana-mana pihak mengambil kesempatan meraih kredit terhadap kejayaan projek berkenaan kerana ia merupakan hasil usaha pelbagai pihak, manakala manfaat sebenar dinikmati rakyat Selangor.

“Budaya politik Malaysia perlu bergerak ke arah politik yang lebih matang, berani mengiktiraf jasa, menerima kebenaran dan sentiasa mendahulukan kepentingan rakyat mengatasi kepentingan kelompok,” katanya.

Beliau berkata, titah Sultan Selangor wajar dijadikan pedoman kepada semua pemimpin agar berlumba-lumba mencipta manfaat kepada rakyat, bukannya menuntut pengiktirafan, kerana sejarah akan sentiasa mengingati mereka yang membina dan bukan mereka yang meruntuhkan.

Menerusi titah perutusan sempena pembukaan Laluan LRT3 hari ini, baginda bertitah, cadangan pembinaan sistem rel itu disampaikan kepada Najib ketika majlis berbuka puasa pada 2015 selepas menerima banyak surat daripada rakyat terutama suri rumah yang mengadu suami mereka sering pulang lewat akibat kesesakan lalu lintas di Lebuhraya Persekutuan.

Sultan Selangor juga menjelaskan bahawa projek LRT3 mengalami kelewatan selepas berlaku pertukaran kerajaan pada 2018 apabila pelaksanaannya tergendala lebih 18 bulan, sebelum berdepan tambahan kelewatan selama 19 bulan akibat pandemik COVID-19 sehingga 2021.

Baginda turut bertitah bahawa ketika Kementerian Kewangan diterajui Lim Guan Eng dengan Tony Pua sebagai penasihat, kos projek telah dikurangkan atas alasan ia merupakan projek “mega”, sedangkan menurut baginda, mereka tidak memahami tujuan sebenar pembinaan LRT3. – UMNO Online

Hashtag/Tanda Pagar/Tagar : #PolitikEraBaharu #UMNO80Tahun #UMNO