Titah Sultan Selangor Buka Semula Hakikat Sejarah LRT3 – Mohd Zaidi
KUALA LUMPUR, 2 Julai – Titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah berhubung pembukaan Laluan LRT3 Shah Alam disifatkan sebagai mengingatkan semula rakyat terhadap sejarah sebenar pelaksanaan projek berkenaan yang bermula atas keprihatinan Baginda terhadap masalah kesesakan lalu lintas di Selangor.
Ketua Penerangan UMNO Selangor, Datuk Dr Mohd Zaidi Md Zain berkata, cadangan pembinaan LRT3 itu diterima oleh kerajaan Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri ketika itu, Datuk Seri Najib Tun Razak pada tahun 2015 demi menyediakan penyelesaian jangka panjang kepada keperluan pengangkutan awam rakyat.

Menurut beliau, kerajaan BN ketika itu tidak meminggirkan rakyat Selangor walaupun negeri tersebut ditadbir oleh pembangkang, sebaliknya meneruskan pelaksanaan projek pembangunan yang memberi manfaat kepada rakyat.
“LRT3 ini bermula daripada keprihatinan DYMM Sultan Selangor terhadap kesusahan rakyat yang setiap hari berdepan kesesakan lalu lintas antara Klang, Shah Alam dan Kuala Lumpur. Cadangan itu kemudiannya diterima oleh Datuk Seri Najib Tun Razak ketika beliau menjadi Perdana Menteri pada tahun 2015.
“Kerajaan Barisan Nasional ketika itu tidak menghukum rakyat Selangor hanya kerana negeri ini ditadbir pembangkang. Apabila rakyat perlukan pembangunan, BN bina. Apabila rakyat perlukan penyelesaian, BN mulakan,” katanya dalam satu kenyataan.
Pada masa sama, beliau turut menghargai usaha Kerajaan Persekutuan hari ini di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang meneruskan pelaksanaan projek tersebut sehingga akhirnya dapat beroperasi dan dimanfaatkan oleh rakyat.
Mengulas lanjut, Mohd Zaidi berkata sejarah projek itu juga tidak boleh dipisahkan daripada keputusan pentadbiran Pakatan Harapan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 yang menyaksikan skop asal projek dikurangkan atas alasan penjimatan kos.
Menurut beliau, ketika Lim Guan Eng memegang portfolio Menteri Kewangan bersama Tony Pua yang memainkan peranan dalam usaha rasionalisasi projek kerajaan, kos projek LRT3 dikurangkan daripada RM31.65 bilion kepada RM16.63 bilion.
Beliau mendakwa langkah tersebut bukan sekadar melibatkan pengurangan kos, malah turut memberi kesan kepada kapasiti dan skop asal projek termasuk pengurangan jumlah tren, pemendekan tren daripada enam kepada tiga gerabak serta penangguhan beberapa stesen.
“Yang dipotong bukan sekadar angka di atas kertas. Tempahan tren dikurangkan, panjang tren dipendekkan, beberapa stesen ditangguhkan dan kapasiti keseluruhan projek turut dikecilkan.
“Inilah yang rakyat Selangor perlu fahami kerana kejayaan sesuatu projek pengangkutan awam bukan hanya diukur berdasarkan jumlah penjimatan kos, tetapi sejauh mana manfaatnya dapat dinikmati oleh rakyat,” katanya.
Tambah beliau lagi, titah Sultan Selangor menjadi peringatan bahawa projek LRT3 pada asalnya dirancang bagi menyelesaikan masalah rakyat, justeru pembangunan infrastruktur awam perlu dilaksanakan dengan perancangan jangka panjang dan bukan semata-mata untuk memenuhi naratif politik.
Sehubungan itu, beliau berpandangan projek yang melibatkan kepentingan rakyat perlu dibangunkan dengan kapasiti yang mencukupi agar dapat memenuhi keperluan pengguna pada masa hadapan serta memberi manfaat optimum kepada rakyat Selangor. – UMNO Online
